KULIM: Peninju dari Thailand, Watchara Chartthakor yang menentang Kristof Kirsch dari Jerman antara pertarungan tumpuan sempena Kejohanan Ketolabs Pahlawan Muay Thai Antarabangsa yang berlangsung di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech.
Mereka antara 20 peserta yang terdiri daripada kelab-kelab muay thai tempatan dan luar negara termasuk Maghribi, Myanmar, Kemboja dan Brazil yang mengesahkan penyertaan dalam kejohanan itu.
Penganjur kejohanan, Muhammad Faizol Mokhtar berkata, kira-kira 4,000 peminat sukan muay thai atau tomoi dijangka hadir pada kejohanan itu berdasarkan penjualan tiket yang amat memberangsangkan secara dalam talian serta melalui beberapa agen sah.
“Kejohanan kali ini pertama kali dianjurkan di utara tanah air yang menghimpunkan atlet sukan muay thai yang terkenal di peringkat antarabangsa.
“Watchara dan Kristof misalnya merupakan juara di peringkat dunia dalam sukan berkenaan serta memiliki beberapa tali pinggang kejuaraan,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Muhammad Faizol berkata, kejohanan itu ditaja oleh syarikat Ketolabs dengan kerjasama Pahlawan Muay Thai dan pertandingan dijalankan mengikut peraturan antarabangsa serta mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
“Kami berharap peminat sukan muay thai khususnya di Kulim serta utara tanah air tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat lagi jaguh dunia beraksi di sini,” katanya.
Selain itu, aktiviti cabutan bertuah menawarkan hadiah sebuah motosikal dan barangan kemas dengan nilai keseluruhan hampir RM16,000 antara yang ditawarkan sempena kejohanan tersebut. –UTUSAN