KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan kerajaan negeri supaya menunaikan janji bagi mengkaji semula pemansuhan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya akan susuli perkara berkenaan kerana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah sebutkan dalam persidangan DUN bahawa Perkara 6 (7) akan dikaji semula.
Maka, Mohd. Shafie mencadangkan agar satu badan seperti Jawatankuasa Pilihan Parlimen diwujudkan bagi memperhalusi Perkara 6 (7) kerana ia cukup penting bagi memilih pemerintah daripada parti yang memperoleh majoriti.
“Perkara ini cukup penting bagi melantik siapa yang bakal menjadi pemerintah dan bukan menggunakan akuan bersumpah (SD) kerana SD menimbulkan keadaan politik yang tidak menentu. Itu sebabnya kita suarakan supaya Perkara 6 (7) jangan dimansuhkan namun, mereka telah mengundi dan ia telah dimansuhkan.
“Namun, mereka berjanji bahawa ia akan dikaji semula dengan melibatkan pandangan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ada.
“Kita mahu lantikan pemerintah dibuat berdasarkan parti yang memperoleh majoriti dan juga parti yang bertanding pada pilihan raya. Kita tidak mahu nanti, parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya di Sabah dilantik menjadi kerajaan, ini bercanggah dengan sistem demokrasi.
“Sebenarnya Perkara 6 (7) boleh memantapkan keadaan politik supaya tiada pertikaian dari segi undang-undang mengenai lantikan pemerintah di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan di Ibu Pejabat Warisan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Warisan susulan pemansuhan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri dalam persidangan DUN Sabah semalam.
Perkara 6 (7) digubal pada 25 Mei 1990, iaitu 33 tahun lalu bagi menyelamatkan kedudukan Ketua Menteri pada waktu itu susulan pergolakan politik yang berlaku.
Namun, dalam pindaan Perlembagaan Negeri semalam, Hajiji menyatakan Perkara 6 (7) dimansuhkan susulan peruntukan tersebut tidak lagi relevan dengan keadan semasa.
Di bawah Perkara 6 (7), Ketua Menteri hendaklah dilantik daripada ketua parti yang memperolehi majoriti atau lebih 50 peratus bilangan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya
Semalam, DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah 2023 bagi melarang ADUN bertukar atau melompat parti selepas memperoleh sokongan 75 ADUN iaitu lebih dua pertiga ahli Dewan pada bacaan kali ketiga.
Walau bagaimanapun, semasa undian belah bahagian mengikut kluasa pada bacaan kali kedua pindaan RUU berkenaan dilakukan, hanya 61 ADUN menyokong pemansuhan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri manakala, 14 ADUN Warisan tidak menyokong pemansuhan tersebut.