SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi lebih kompetitif di peringkat antarabangsa dengan menguasai kemahiran membuat keputusan berdasarkan analisis data dan lambakan maklumat.
Baginda bertitah, universiti juga perlu memastikan mahasiswanya turut berupaya bersaing di peringkat antarabangsa dengan melaksanakan program persediaan merangkumi pelbagai aspek termasuk kemahiran teknikal.
“Dengan lambakan maklumat pada hari ini dari pelbagai saluran media, kemampuan dan kemahiran menganalisis data dengan menggunakan aplikasi dan sebarang tindakan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, merupakan sharp skills yang perlu dikuasai warga universiti.
“Universiti juga perlu melaksanakan program persediaan agar mahasiswa dapat bersaing di peringkat global, antaranya program yang mencakupi aspek bahasa, kebudayaan dan kemahiran teknikal,” titahnya selepas menyampaikan ijazah kepada 1,147 graduan pasca siswazah pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-96, hari ini.
Dalam istiadat kali ini, seramai 24,713 graduan UiTM menerima ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma lepasan ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing dalam 24 sidang bermula hari ini hingga 3 Jun.
Tengku Norashikin menambah, kualiti pengajaran dan pembelajaran di universiti juga perlu ditingkatkan untuk memastikan warganya mempunyai kepakaran, mempunyai akses kepada pelbagai sumber serta memberikan sokongan kepada mahasiswa untuk memahami pembelajaran dengan baik.
Dalam pada itu, Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor memaklumkan, UiTM berusaha memastikan kedudukannya di peringkat global terus kelihatan apabila memeterai 724 perjanjian antara universiti dengan industri di luar negara sehingga 31 Mac tahun ini.
“Antaranya surat hasrat (LOI) dari University of Auckland bersama UiTM Cawangan Terengganu dan Memorandum Persefahaman (MOU) dari Universitas Jenderal Achmad Yani, Indonesia bersama Fakulti Perubatan.
“Selain itu, UiTM juga mengukuhkan kerjasama dengan rakan industri dari syarikat multi-nasional. Lebih daripada 20 usaha sama rakan strategik terjalin, antaranya ialah syarikat McDonald, Nestle, FamilyMart dan Malaysia Airlines Berhad (MAB),” ujarnya. – UTUSAN