TAPAH: Seorang wanita maut manakala suaminya parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 349.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa, Roaini Tan Jalil, 59, beralamat di Rancangan Perumahan Awam 2, Ulu Kinta maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan anak lelaki dan perempuan mangsa berusia 21 dan 34 tahun parah manakala cucu perempuannya berusia lima tahun cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan membabitkan kereta Proton Saga dinaiki lima sekeluarga dan sebuah Perodua Axia dipandu lelaki berusia 24 tahun.
Katanya, ketika pihak polis sampai di lokasi, kedua-dua kenderaan terlibat berada di dalam longkang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang berada di lorong kanan hilang kawalan lalu melanggar bahagian tepi kereta mangsa yang berada di lorong kiri.
“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam longkang.
“Seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta Proton Saga mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, pemandu kereta Perodua Axia hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN