IPOH: Seorang wanita maut manakala rakannya cedera setelah motosikal mereka bertembung sebuah kereta di Kampung Pos Raya, Simpang Pulai di sini petang tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Alia Supar, 25, manakala rakannya yang cedera berusia 24 tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 5.25 petang.
Katanya, kemalangan membabitkan motosikal ditunggang dua sekawan itu dengan sebuah kereta Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati tiada mangsa yang tersepit. Seorang penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Anggota kemudian memberi rawatan awal kepada pembonceng yang cedera sebelum dia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 7.18 malam. – UTUSAN