Wanita antara lima dicekup seleweng diesel

Wanita antara lima dicekup seleweng diesel

BOT nelayan kelas B1 yang disita kerana terlibat dalam kegiatan menyeleweng diesel berjumlah 12,000 liter di Kuala Kedah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lima individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menyeleweng minyak diesel berjumlah kira-kira 12,000 liter di Kuala Kedah, semalam.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan terhadap dua buah bot di jeti nelayan pada pukul 6.20 petang.

Tambahnya, mereka yang ditahan berusia antara 30-an hingga 50-an dan wanita terbabit berumur 31 tahun.

“Pemeriksaan dijalankan menemukan sejumlah minyak diesel yang disyaki untuk diseleweng dalam tangki bot tersebut. Sehubungan itu, pihak polis telah menyita minyak diesel yang dianggarkan bernilai kira-kira RM25,800.

“Selain itu, polis turut menyita kedua-dua bot nelayan yang diperiksa terdiri daripada bot nelayan kelas C dan kelas B1. Antara barangan lain yang disita adalah tujuh unit tangki fiber, tiga unit pam minyak dan tiga telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes itu kemudiannya diserahkan pihak polis kepada KPDN untuk tindakan lanjut kira-kira pukul 10 malam tadi di Jeti Nelayan Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah.  

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM825,800. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua.

“Manakala untuk pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan kedua,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya