SECARA jujurnya penulis bukanlah antara peminat fanatik kumpulan dari seberang yang kala ini dilihat berlumba-lumba mengadakan persembahan di Malaysia.
Namun ketika penganjur Dream Festival Collaboration menyatakan hasrat untuk membawa Wali Band mengadakan persembahan di pentas Zepp Kuala Lumpur, 20 Mei lalu , penulis sedikit teruja.
Bukan menilai populariti yang diraih mereka dekad ini, tetapi lebih melihat keunikan serta simbolik karya yang dijaja sebelum ini.
Apatah lagi lagu-lagu yang dihasilkan senang difahami dan mudah ‘masuk kepala’.
Walaupun ada segelintir netizen melabelkan kumpulan ini sebagai ‘band kampung’ atau ketinggalan zaman, namun penulis tetap tunduk hormat atas cetusan idea mereka kerana bukan mudah untuk mencipta identiti serta keaslian tersendiri.
Perlu fahami di tanah seberang terdapat ribuan jenis kumpulan muzik yang mencari makan di setiap ceruk dan pelusuk, Jadi untuk dikenali dan diminati bukanlah sesuatu yang mudah.
Pendekatan mereka untuk menyajikan sesuatu yang luar biasa buat peminat haruslah dipuji dan terbukti hari ini Wali Band sudah dikenali di seantero gugusan kepulauan melayu ketika ini.
Perjalanan konsert berdurasi tiga jam ini dimulakan dengan penampilan kumpulan Floor 88 pada pukul 8.00 malam, sekali gus menjadi perasmi pentas pada malam itu.
Tidak jelas kenapa pihak penganjur memilih kumpulan ini untuk bergandingan dengan Wali Band, namun pastinya mereka mempunyai strategi dan jawapan tersendiri.
Atau mungkin juga kerana kedua-dua kumpulan ini mempunyai persamaan dalam membawakan lagu-lagu berunsur nasihat, legenda serta dongeng rakyat yang dilihat seiring dalam genre muzik mereka.
Seperti yang diketahui karya kumpulan ini bukanlah asing dari jiwa pendengar malah lagu-lagu seperti Chikadun, Zalikha, Kong Kali Kong serta Hutang merupakan ‘killer song’ yang sering diputarkan di corong radio serta mampu dinyanyikan oleh penonton yang hadir.
Walaupun masih dilabelkan sebagai kumpulan baharu, penyanyinya, Ayie Elham dilihat tidak kekok untuk berhadapan peminat malah rata-rata penonton yang hadir dilihat enjoy dengan celoteh dan aksinya yang berjaya menguasai keseluruhan ruang pentas.
Bukan sekadar itu, lima anggota lain iaitu Zai Hamzah (gitar utama), Amir (gitar kedua), Falique (bass), Eric Fauzi (keyboard) serta Akram (drum) dilihat berjaya mengimbangi serta meredakan mood penonton yang mungkin hadir untuk menyaksikan Wali Band.
Ironinya kumpulan yang memperjuangkan genre pop rock dan alternatif rock ini boleh diibaratkan sebagai ‘lulus’ dalam ujian pada malam itu dengan memberikan persembahan bertenaga dan mantap untuk aksi pembukaan serta pemanas badan.
DOA SEBAGAI PEMBUKA ACARA
Keterujaan peminat menanti kehadiran kumpulan yang berasal dari Ciputat, Tangerang Selatan Indonesia ini akhirnya bernokhtah apabila muncul di pentas dengan lagu Cari Berkah sebagai aksi pembukaan.
Penonton diajak sama bernyanyi dengan setiap butiran liriknya dipaparkan terus secara langsung di latar pentas.
Faank atau nama sebenarnya Farhan Zainal Muttaqin yang merupakan penyanyi kumpulan ini sempat mengajak peminat yang hadir untuk sama-sama berdoa agar diberi kesihatan yang baik serta dipermudahkan setiap urusan harian terutamanya dalam soal hutang, jodoh dan kerjaya sebelum meneruskan aksi seterusnya.
Seleksi lagu-lagu bercorak kerohanian dan ketuhanan menjadi pilihan pembukaan mereka malah ramai penonton yang hadir ikut sama menyanyi walaupun lagu tersebut bukanlah antara yang dianggap popular atau sering dimainkan di corong radio tempatan.
Setelah empat lagu diperdengarkan, mereka lantas meninggalkan ‘backline’ sedia ada sebelum meneruskan persembahan dengan gaya akustik ala santai.
Walaupun idea menggubah susunan muzik sedia ada ibarat melakukan satu eksperimen yang boleh menggugat perjalanan sesebuah persembahan, namun apa yang dilakukan mereka boleh terbukti berjaya.
Tidak sekadar memperlihatkan suasana tenang dan harmoni malah penghasilan tersebut menjadikan penonton lebih terpukau serta dapat menghayati lontaran vokal yang lebih jelas serta mendamaikan.
Celoteh dan jenaka Faank bukan sahaja berjaya mencuit hati penonton malah dia sempat menitipkan pesanan dengan mengatakan setiap bait lagu yang disampaikan olehnya mempunyai mesej dan maksud yang selari dengan kehidupan ketika ini.
Uniknya kumpulan ini ialah apabila mereka tidak beraksi secara syok sendiri. Sentiasa memberi peluang penonton yang hadir untuk menyanyi bersama adalah satu cara mereka meraikan peminat, malah di situ juga dia tahu lagu-lagu kumpulan mereka sudah sinonim dan menjadi hafalan buat peminat-peminat di Malaysia.
Tamat empat lagu berkonsepkan akustik mereka kembali menggamatkan pentas dengan membawakan lagu-lagu hits mereka iaitu Tobat Maksiat, Yank dan Ada Gajah Di Balik Batu yang sekali gus menjulang nama Wali Band di rantau ini.
Penonton yang hadir dilihat tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama, malah ada ketikanya suara Faank sedikit tenggelam apabila ribuan peminat bersama-sama mengambil alih posisi penyanyi yang berasal dari Sukabumi, Jawa Barat ini.
Beberapa kali juga Faank mengusik peminatnya dengan memberitahu itu adalah lagu terakhirnya, dan jika ingin meneruskan persembahan perlu ditambah ongkosnya, gurauan itu akhirnya dibayar dengan dua buah lagu hits mereka iaitu Aku Bukan Bang Toyib dan Cari Jodoh yang dinyanyikan bersama Ayie sebagai menutup tirai persembahan.
Kesimpulannya, rata-rata penonton yang hadir dilihat cukup berpuas hati dengan persembahan dan perjalanan konsert pada malam itu. Kreativiti serta kesungguhan yang ditunjukkan mereka berjaya diterjemahkan atas satu pentas yang sama.
Selain Faank, Wali Band turut dianggotai oleh Kurnia (gitari), Ihsan Bustomi (dram) dan Hamzah Shopi (keyboard)
Tidak lupa ucapan tahniah buat peyampai radio Suria FM, Bob Ringgo yang bertindak sebagai pengacara pada malam itu. Dia bukan sahaja mampu mengawal keadaan malah berjaya mencipta bahang debaran sebelum konsert bermula.