SERDANG : Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini mengumumkan spesies baharu pokok periuk kera sempena nama ketua pengarahnya Datuk Dr. Mohammad Zabawi Abdul Ghani.
Spesies pokok kera tersebut Nepenthes rafflesiana var. Zabawiana yang ditemukan di Taman Negeri Rompin,Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu Mei tahun lepas oleh Dr. Mohd Norfaizal Ghazali yang juga Timb. Pengarah Program Penggunaan Sumber dan Konservasi Agrobiodiversiti Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran agensi berkenaan
Ia merupakan projek penyelidikan yang dijalankan MARDI bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Varieti baharu ini dinamakan sempena nama beliau sebagai menghargai sumbangan dan sokongan dalam kajian eksplorasi, pemuliharaan dan penggunaan lestari sumber agrobiodiversiti negara di MARDI.
Mohamad Zabawi yang melancarkan varieti baharu itu hari ini berkata, penggunaan nama beliau adalah sebagai menghargai kerja kerja pemuliharaan biodiversiti sepanjang berkhidmat di MARDI selama ini.
Pelancaran varieti baharu juga itu amat signifikan dengan penganjuran sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat MARDI Tahun 2023 iaitu sejajar dengan pengistiharan 22 Mei setiap tahun sebagai Hari Biodiversiti Sedunia,
‘’Kami mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan sambutan tersebut di peringkat MARDI. Tema sambutan di peringkat global adalah From Agreement to Action: Build Back Biodiversity.
“Tema ini dipilih adalah untuk memberi sokongan dan implementasi kepada Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat UN Biodiversity Conference (COP15) di Montreal, Kanada pada Disember tahun lalu,” ujarnya.
Menurut Mohamad Zabawi, sambutan di peringkat MARDI bertujuan memberi fokus kesedaran tentang isu biodiversiti dan kepentingannya terhadap kelestarian pertumbuhan sektor pertanian dalam menyokong keterjaminan bekalan makanan dari segi kuantiti dan kualiti serta melihat hala tuju negara dalam pengurusan biodiversiti dan pelaksanaan aktiviti berkaitan seperti pemuliharaan dan penggunaan lestari bagi memenuhi implementasi kepada perjanjian antarabangsa sebagai komitmen negara.
Menurutnya lagi, MARDI sebagai sebuah institusi penyelidikan berasaskan pertanian sentiasa memastikan hasil penyelidikan dapat mencapai sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan terutama dalam aspek ketersediaan, kestabilan dan kemapanan sekuriti makanan negara tanpa mengabaikan kelestarian biodiversiti. Sasaran ini telah menjadi panduan utama dalam strategi.
Penyelidikan MARDI di bawah Teras Ke-3 yang memfokuskan kepada aspek penerokaan, pemuliharaan dan penggunaan biodiversiti, dan sumber asli untuk kelestarian pertanian serta penjanaan kekayaan baru.
Turut diadakan bagi sambutan tersebut ialah seminar secara hibrid yang menarik lebih 150 orang peserta yang akan dikongsikan mengenai peluang, hala tuju dan jaminan kelestarian biodiversiti. -utusan