PETALING JAYA: Muslim Care Malaysia (MCM) menggerakkan satu lagi misi bantuan kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria, kali ini bersama pendakwah wanita popular, Ustazah Asma’ Harun.
Ini kerjasama kali pertama antara MCM dengan Ustazah Asma’ yang juga Penaung kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care.
Misi diketuai Timbalan Presiden MCM, Haji Mohd Johari Ismail. Turut serta ialah suami Ustazah Asma’, Tengku Fazli Tengku Yahya selaku Pengerusi Sahabat Amal Care dan Timbalan Pengerusi Yayasan Al Hijrah serta empat petugas media dua NGO itu.
Rombongan sukarelawan seramai enam orang itu berlepas ke Turkiye dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2 pagi, Selasa, 9 Mei 2023 dan dijangka pulang ke tanah air pada 15 Mei 2023.
Ustazah Asma’ berkata, dia secara peribadi sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Syria bagi membantu rakyat negara itu yang telah 12 tahun menderita akibat peperangan dan terbaru, dilanda gempa bumi yang dahsyat.
Ustazah Asma’ berkata, pihaknya memilih MCM sebagai rakan kerjasama untuak merealisasikan impiannya menghantar bantuan ke Syria kerana yakin dengan integriti dan pengalaman luas MCM dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Ketua misi, Haji Mohd Johari berkata, Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0 ini adalah yang keempat bagi MCM sejak gempa bumi kuat melanda dua negara itu pada 6 Februari lalu.
“Untuk misi 4.0 ini, pada awalnya kami merancang untuk ke Syria namun wakil MCM di Turkiye memberitahu kebenaran memasuki Syria melalui Turkiye dibekukan buat sementara waktu sehingga selepas Turkiye selasai mengadakan pilihan raya.
“Oleh itu, program kami terpaksa ditukar dengan memberi tumpuan kepada mangsa gempa bumi membabitkan pelarian Syria yang berada di Turkiye khususnya di Antakya, Kahramanmaras dan Iskenderun,” katanya.
Menurutnya, sejumlah RM200,000 diperuntukkan oleh MCM, Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care untuk misi bantuan 4.0 ini membabitkan pengagihan pek makanan, pakaian dan memperbaiki kerosakan rumah beberapa mangsa gempa yang dikenal pasti.
Sementara itu, Presiden MCM, Zulkfli Wahijan berkata sepanjang empat misi digerakkan oleh MCM, keseluruhannya lebih RM1 juta sumbangan rakyat Malaysia disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye.
Menurutnya, MCM juga berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Ustzah Asma dan dua NGO dinaunginya , Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care.
“Dalam misi ketiga sebelum ini, kami bekerjasama dengan seorang lagi pendakwah popular iaitu Ustaz Wadi Annuar Ayub bersama NGO diketuainya, Pertubuhan Khidmat Ummah.
“Kerjasama dengan pendakwah, NGO dan pelbagai pihak lain bersama MCM menunjukkan mereka percaya kepada kemampuan dan gerak kerja MCM dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan daripada orang ramai untuk mangsa gempa bumi Syria dan Turkiye masih dialualukan .
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 (rujukan: Syria dan Turkiye). Hantarkan slip pindahan wang kepada Hotline MCM (011-50050035) atau Haji Mohd Johari 016-9978323. – UTUSAN