DUNGUN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad menolak dakwaan kononnya jentera UMNO negeri itu akan memprotes calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya juga tidak pernah mendengar dakwaan protes calon PH itu sebelum ini.
Sebaliknya, menurutnya, UMNO Terengganu akan tetap mengadakan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN.
“Dakwaan protes (calon PH) itu tak ada, setakat ini saya tak dengar cerita pun.
“Kerjasama dah (terjalin) peringkat Pusat, kita (UMNO dan PH di Terengganu) akan kerjasama demi kestabilan negara kita, negeri kita.
“UMNO tetap akan bekerjasama dengan PH walau apa pun, politik dinamik bukan politik mati, sebab itu orang kata tidak ada musuh berkekalan (dan) kawan berkekalan dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketengah 2023 di Ibu Pejabat Ketengah di Bandar Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadri Tengku Musa dan lebih 2,000 tetamu.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan jentera UMNO dikatakan akan memprotes dan tidak mahu menerima calon PH di negeri Pantai Timur.
Seorang pemimpin parti itu di Terengganu berkata, protes itu berikutan akar umbi tidak dapat menerima kerjasama UMNO dengan PH.
Katanya, perkara itu sudah disuarakan dalam mesyuarat peringkat Perhubungan UMNO negeri April lalu melibatkan ketua-ketua bahagian di seluruh negeri itu.
Ditanya mengenai sasaran PH bertanding di 12 kerusi DUN dalam PRN nanti, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal memberitahu, rundingan agihan kerusi DUN antara UMNO dan PH masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Menurutnya, pada masa ini, beliau tidak mengetahui jumlah yang akan ditandingi UMNO dan PH dalam PRN nanti.
“Kita dah bincang tapi keputusan belum ada keputusan, kita pinang anak orang pun ada tawar-menawar,” ujarnya. – UTUSAN