SHAH ALAM: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta pengurusan universiti mempertimbangkan semula denda sehingga RM200 terhadap mahasiswa yang dikenakan Gugur Taraf untuk mengaktifkan semula status mereka.
Badan perwakilan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mencadangkan supaya denda tersebut dikecualikan atau sekurang-kurangnya menawarkan pengurangan kepada mahasiswa yang terkesan.
“MPP cakna ramai mahasiswa UiTM terkesan dengan denda RM200 yang dikenakan bagi mengaktifkan semula status sebagai mahasiswa. Kami mencadangkan agar pengecualian bayaran denda RM200 atau diskaun bayaran denda dilaksanakan.
“Dalam masa sama, mahasiswa juga seharusnya sedia maklum mengenai tempoh permohonan penangguhan bayaran yuran seperti yang tertera dalam Kalendar Akademik Sesi II Mac – Ogos 2023,” katanya, hari ini.
UiTM sebelum ini menguatkuasakan sistem status Gugur Taraf yang dilakukan setiap semester berdasarkan Peraturan Akademik Diploma dan Sarjana Muda UiTM (Pindaan 2021).
Mahasiswa dikenakan status tersebut selepas gagal mendaftar kursus pada tarikh ditetapkan serta mereka yang menangguhkan bayaran yuran pengajian tanpa membuat permohonan rasmi kepada universiti.
Dalam pada itu MPP UiTM bagaimanapun dalam kenyataan sama memaklumkan semua mahasiswa perlu menghormati peraturan yang termaktub dalam Perkara 2.32 Peraturan Akademik universiti berkaitan Pengaktifan Semula Status Sebagai Pelajar Gugur Taraf.
“Tiada siapa yang mampu melangkaui undang-undang terhadap peraturan yang dikuatkuasakan. Walau bagaimanapun, kami sudah berbincang dengan Pengurusan
Tertinggi UiTM agar mahasiswa terlibat boleh berhubung dengan Penasihat Akademik, Ketua Pusat Pengajian, Timbalan Dekan, Dekan atau Timbalan Rektor di fakulti dan cawangan masing-masing untuk memudahkan proses pembayaran yuran dan denda.
“Akhir kata, MPP UiTM sekali lagi ingin memberi peringatan kepada semua mahasiswa agar sentiasa peka dan cakna dengan pemakluman yang dikeluarkan oleh universiti demi kemaslahatan kita bersama,” ujarnya. – UTUSAN