PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempersiapkan kajian semula Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan melakukan beberapa anjakan terutama melibatkan perancangan bagi mengatasi masalah air yang berlarutan sekian lama di Kelantan dan Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan dilihat mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan jika mengikut perancangan menerusi RMK12 dan Belanjawan Madani sedangkan ia merupakan isu keperluan asas yang harus disegerakan.
Beliau berkata, usaha itu bukan bertujuan untuk meninggalkan atau meremehkan usaha lama, tetapi satu komitmen ke arah kecemerlangan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti bagi tujuan penambahbaikan untuk kepentingan rakyat.
“Semalam dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan, saya sebut tentang rundingan bekalan air di Sabah dan Kelantan. Kalau ikut rancangan kita ia mengambil masa terlalu panjang iaitu termasuk dalam RMK12 atau Belanjawan Madani.
“Kalau saya sendiri pun duduk di Sandakan dapat air laut masin bercampur dengan air untuk minum, ia pasti ada masalah, begitu juga banyak daerah lain di Sabah dan Kelantan menghadapi masalah sama, ini bukan soal politik tetapi soal dasar kita,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Menurut Anwar, rundingan berhubung bekalan air bersih itu telah dibuat dengan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Besar Kelantan serta mempersembahkan perkara itu kepada Sultan untuk Kerajaan Persekutuan mengambil alih tanggungjawab itu walaupun melibatkan perbelanjaan besar dan tiada dalam perancangan asal.
Bagaimanapun, kata beliau, dasar itu perlu diubah yang memerlukan kesediaan penjawat awam melakukan anjakan sedikit dari penggubalan dasar sedia ada.
“Sebab itu semalam saya sebut sukuk ke bon ke, tapi masalah air adalah masalah asas. Semua agensi akan bincang termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dengan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara sendiri berhubung anjakan besar itu.
“Ia tidak ada dalam rancangan asal, kalau ada pun berperingkat, jadi saya tak boleh terima kenyataan ini. Ada hal-hal terpaksa disegerakan, ada jalan berlubang dan berlopak sesetengah berlaku di negeri-negeri kita telah peruntukkan RM1 bilion tahun ini, tapi untuk memenuhi keperluan asas tak cukup,” katanya. – UTUSAN