TANAH MERAH: Seorang petani dari Kampung Bukit Gading di sini mendakwa kerugian RM100,000 selepas tumbesaran pokok pisang yang diusahakannya terbantut akibat cuaca panas melampau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Kamaruzaman Gan Chai, 65, berkata, situasi itu menyebabkan hasil tanaman yang diusahakan di atas tanah seluas enam hektar itu berkurang sebanyak 50 peratus.
“Semua pokok pisang ini sepatutnya sudah boleh dituai namun keadaan cuaca yang terlalu panas sejak awal tahun menyebabkan lebih 1,000 anak pokok pisang terbantut.
“Malah ada tanaman yang rosak seperti patah, daun terbakar serta kemerosotan hasil kerana kekurangan bekalan air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Che Kamaruzaman memberitahu, cuaca panas yang melanda ketika ini adalah paling teruk pernah melanda kawasan berkenaan.
Katanya, alur sungai yang menjadi sumber bekalan air untuk tanaman pisangnya juga turut kering disebabkan bahang panas melampau itu.
“Ketika keadaan cuaca panas sekarang ini, saya hanya ke kebun pada waktu pagi sekitar pukul 7 hingga 8 pagi manakala sebelah petang pada pukul 5.30 hingga 6.30 petang.
“Saya hanya mampu melakukan kerja-kerja di kebun selama sejam bagi satu-satu masa kerana tidak tahan dengan keadaan cuaca yang terlampau panas,” jelasnya.
Che Kamaruzaman berkata, ketika ini dia hanya mengharapkan huj an bagi membolehkan tanaman itu kembali membuahkan hasil.
Dalam pada itu, beliau mengakui bil elektrik di rumahnya meningkat kerana penggunaan kipas dan pendingin hawa yang lebih kerap berbanding sebelum ini bagi meredakan bahang panas. – UTUSAN