PETALING JAYA: Gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan dua anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tular dalam media sosial sekali gus menimbulkan spekulasi dalam kalangan netizen.
Terdapat dalam kalangan netizen menyifatkan Anwar berjaya menyatukan kembali Nik Mohamad Abduh dan abangnya, Nik Omar.
Ia susulan kedua-dua anak bekas Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini dilihat tidak ‘sekepala’ selepas mereka memilih fahaman politik bertentangan.
Nik Mohamad Abduh ketika ini bersama Pas manakala Nik Omar memilih menyertai Parti Amanah.
Selain gambar Anwar dan dua anak Nik Abdul Aziz itu, turut kelihatan penceramah bebas, Wan Ji Wan Wan Hussin serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Gambar berkenaan dipercayai dirakam di sebuah lokasi di Kelantan memandangkan Anwar semalam menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di negeri itu.
Seorang warganet menggunakan nama Najib Bakar menyifatkan, kedua-dua individu itu sebelum ini ‘dicucuk’ oleh faksi politik Pas Kelantan yang mahu melenyapkan legasi Nik Abdul Aziz.
“Alhamdulillah, sekarang dua beradik ini disatukan kembali oleh PMX Anwar dan Ustaz Herjunot Ali (Wan Ji Wan Wan Hussin),” tulisnya. – UTUSAN