Tujuh Dua Belas terlalu ‘tenang’ untuk sebuah filem aksi - Utusan Malaysia

Tujuh Dua Belas terlalu ‘tenang’ untuk sebuah filem aksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA kepiluan dan kemarahan berapi-api ketika mengenangkan rantaian kes penculikan kanak-kanak yang sempat membuat gigil ibu bapa beberapa tahun dulu.

Lebih menyedihkan, beberapa kes penculikan ini berhujung pembunuhan yang sampai hari ini masih tiada jejak siapa pelakunya.

Semestinya, ketika naskhah debut sutradara Thorpe Ali dikatakan mengangkat isu ini menerusi filem Tujuh Dua Belas, penulis berasa teruja sekali gus menyimpan harapan agar naskhah ini mungkin boleh dijadikan rujukan atau sesekali membawa penonton mengenang perasaan sugul yang pernah dirasai satu negara semasa berita kehilangan dan pembunuhan Nurin Jazlin dilaporkan pada 2007.

Filem Tujuh Dua Belas yang diterbitkan Osmosis Production Sdn. Bhd. dijenamakan sebagai sebuah filem aksi menceritakan tentang Safia lakonan Farali Khan yang berusaha mencari kembali anak saudaranya bernama Adam yang diculik oleh satu sindiket penyeludupan organ manusia.

MATI EMOSI

Walaupun ia sebuah filem aksi, namun aksi pertama yang ditayangkan dalam filem ini hanya terbit selepas 10 minit tayangan di mana watak Sham dikejar samseng yang meminta hutang.

Gara-gara tidak mempunyai wang, samseng itu kemudian mengapit tangan Sham di pintu kereta.

Namun begitu, Sham lakonan Idzham Ismail tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Tidak menjerit dan tidak pula mengerang kesakitan.

Tidak hanya Sham yang mati emosi, Farali juga dilihat belum cukup tenggelam dalam karakter Safia. Ketika anak saudaranya hilang, Safia hanya memandu kereta sambil mengerut dahi dengan harapan anak saudaranya akan dijumpai.

Jika yang hilang adalah seorang manusia yang sudah kita sayang seperti anak sendiri, bukankah sepatutnya karakter Safia menunjukkan betapa terdesaknya dia mencari Adam yang hilang di depan mata?

Paling tidak sekalipun, Safia mungkin menangis teresak-esak, atau menekan minyak kereta sedikit lebih kencang semasa mengejar kereta si penculik?

Jika mahu dibahaskan aspek lakonan, saya berpendapat lakonan yang paling menjadi dan menonjol sepanjang filem ini bukanlah datang daripada pelakon utamanya tetapi pelakon pembantu.

Karakter Black Lee yang dibawakan seorang pelakon Mad Murad sangat menjadi bermula daripada reaksi wajah, lontaran dialog serta aksi lawan yang ditonjolkan.

Watak Black Lee ada tarikan memukau yang memberikan warna di dalam naskhah ini.

SILANG FAKTA

Plot filem Tujuh Dua Belas tidak kompleks. Ia sangat mudah difahami dan diramal. Penulis berpendapat, sekiranya jalan cerita filem ini diperam sedikit lebih lama dan disilang fakta dengan beberapa insiden kehilangan yang pernah terjadi di Malaysia, ia akan lebih hidup dan nyata.

Beberapa kes penculikan kanak-kanak sebenarnya berlaku di kawasan rakyat marhaen seperti pasar malam dan bangunan flat jika merujuk kepada kes yang terjadi kepada Nurin Jazlin (2007), Asmawi (2008) dan Dirang (2012).

Alangkah menariknya jika persoalan ini boleh diperbesar dan dibincangkan dalam filem ini.

Paling tidakpun, semasa skrip ini ditukangi, pengarah boleh sahaja membaca kembali cerita yang pernah dikongsikan seorang gadis bernama Eva Natasha tentang pengalamannya hampir diculik semasa dia berumur 11 tahun.

Dari situ, mekanisme cara penculikkan rupanya jauh lebih licik dilakukan sindiket dan bukan sekadar mengacu pistol di tempat terbuka, siang hari seperti yang dipaparkan dalam filem ini.

TERLALU TENANG BAGI FILEM AKSI

Walaupun pertarungan Farali dan Chintya Chandranaya begitu memukau dalam naskhah ini (kerana masing-masing datang daripada bidang ilmu pertahanan diri).

Namun, memandangkan babak pertarungan ini tidak dirakam dengan baik, ia kelihatan sangat murah dan terlalu ‘tenang’ untuk sebuah filem bergenre aksi.

Apa lagi setelah bertarung sebegitu hebat, dari siang ke malam, tidak ada satu pun percikan darah yang tumpah atau babak cermin pecah yang boleh memberikan kesan lebih dramatik mengukuhkan babak itu.

Apa yang ada hanyalah sedikit lebam di bahagian pipi Sofea selepas pergaduhan. Bukan itu sahaja, bahagian yang paling mengganggu fokus sepanjang menikmati Tujuh Dua Belas adalah kualiti audionya.

Ada beberapa bahagian di mana muzik latarnya kedengaran sangat nyaring sehingga menenggelamkan dialog yang dilontarkan pelakon.

Persembahan visual termasuklah pergerakan kamera dan pemilihan warna filem ini banyak mengingatkan penulis kepada filem aksi dari Hong Kong yang diterbitkan pada 1996.

Langgam cerita semakin lewah sebaik sahaja memasuki act ketiga filem ini. Ia sangat bahaya kerana selalunya penutup sesebuah filemlah yang akan menentukan sama ada sesuatu naskhah itu cukup kuat diingati selepas tayangan atau tidak.

Jika diperhatikan, tiba-tiba watak Safia bertudung sedangkan sepanjang tayangan sejak awal Safia bukanlah seorang wanita yang mengenakan hijab.

Tidak pasti mengapa kesinambungan karakter daripada act dua dan tiga semacam tidak bersambung.

Namun begitu, perlu difahami juga bahawa filem ini dihasilkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan dengan kekangan bajet dan masa.

Sudah tentu ada banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan sekiranya peluang lebih besar diberikan kepada pengarah.

Apapun, tidak ada salahnya untuk kita hadir ke pawagam sebagai tanda sokongan kepada filem Tujuh Dua Belas arahan sulung Thorpe Ali yang menemui penonton bermula 4 Mei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya