KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail disifatkan sebagai seorang pemerintah yang berjiwa rakyat dan mudah mendampingi penduduk di negeri ini.
Malah, baginda seorang pemerintah yang sangat menitikberatkan tentang pembangunan dan peluang pekerjaan buat anak jati Perlis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, beliau secara peribadi kagum dengan kepemimpinan dan teladan ditunjukkan Tuanku Syed Sirajuddin dalam memastikan pembangunan negeri ini dapat berjalan dengan sebaik-baiknya.
“Bagi saya, cara pemikiran baginda adalah sangat futuristik dalam membangunkan negeri ini di samping mewujudkan peluang-peluang pekerjaan buat anak muda Perlis.
“Baginda sememangnya amat cakna tentang negeri dan rakyatnya dalam memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat sebaiknya,” katanya.
Di samping itu, Wan Zikri berkata, Tuanku Syed Sirajuddin seorang pemerintah yang mesra, namun turut memiliki ketegasan dalam hal-hal tertentu.
Katanya, baginda sememangnya pemerintah yang mudah didekati oleh rakyat dan murah dengan senyuman.
“Jarang kita dengar baginda mengeluarkan titah bagi menunjukkan kemurkaannya. Namun, sekiranya wujud sesuatu tindakan yang membawa keburukan kepada negeri ini, maka, baginda bertindak tegas dalam hal tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang tukang jahit dari Kampung Sentua, Zarina Awang, 51, berkata, Tuanku Syed Sirajuddin adalah pemerintah yang senang mendekati rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum mahu pun agama.
Menurutnya, baginda sangat prihatin terhadap nasib rakyat dan mahukan seluruh masyarakat hidup dalam suasana harmoni.
“Baginda tidak meletakkan garis pemisah dengan orang kebanyakan dan ini menunjukkan bahawa raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga dari Mata Ayer, Hafizi Haris, 37, pula berkata, kebajikan rakyat menjadi keutamaan Tuanku Syed Sirajuddin bagi memastikan tiada mana-mana pihak ketinggalan.
Katanya, baginda juga amat proaktif dalam memastikan agensi-agensi seperti Baitulmal dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bergerak aktif bagi membantu golongan memerlukan bantuan di negeri ini.
“Perlis juga banyak melalui proses perubahan di bawah pemerintahan baginda dan seluruh rakyat mendoakan Allah SWT memanjangkan usia baginda untuk terus mentadbir negeri ini dengan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN