BUTTERWORTH: Tokoh Guru Negeri Pulau Pinang 2023, Loh Yat Cheng tidak dapat melupakan kenangan perlu mengulang kaji dan membaca di hadapan ibunya yang sedang bekerja mengambil upah mencuci pakaian.
Bekas Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Union yang berusia 62 tahun itu berkata, meskipun tidak pernah bersekolah, namun ibunya, Loo Ngan Eng begitu menekankan kepentingan pendidikan terhadapnya sejak kecil kerana menyedari ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan.
“Ibu jatuh sakit 18 tahun lalu dam sebelum meninggal dunia, dia menasihati saya supaya tidak perlu risaukannya, malah teruskan tugas seperti biasa dalam mendidik anak murid sebaiknya.
“Ibu adalah pendorong terhebat yang membentuk siapa diri saya hari ini dan augerah yang diterima ini selepas 36 tahun bergelar pendidik saya dedikasikan khas buat mendiang ibu yang menjadi idola saya buat selamanya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah berkenaan sempena Program Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan di Bertam Resort, di sini hari ini.
Sementara itu, Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri, Norhassim Mahat, 62, berkata, pengalaman bergelar pendidik selama 38 tahun banyak memberikan pengalaman pahit dan manis yang tidak aoan dilupakan sampai bila-bila.
Katanya, guru generasi baharu kini berdepan dengan cabaran yang lebih hebat, namun beliau yakin sebarang rintangan dapat dihadapi dengan kesabaran yang tinggi.
“Guru muda yang baru menceburi bidang pendidikan memerlukan kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam mendidik anak-anak yang berbeza latar belakang dan tingkah laku.
“Paling penting, guru perlu banyak berkorban bukan sahaja daripada segi masa, malah tenaga dan wang ringgit bagi memastikan anak-anak berjaya.
“Selain guru formal yang mendidik di sekolah, ibu bapa juga guru informal yang membentuk sahsiah anak-anak di rumah dan kedua-duanya wajar sentiasa dihormati,” katanya.
Kedua-dua tokoh terbabit masing-masing menerima wang imbuhan RM2,500, plak penghargaan dan hadiah istimewa iaitu dua buah motosikal sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Co-opbank Pertama (CBP).
Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat. – UTUSAN