APABILA Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambut ulang tahun berliannya pada tahun depan, ia menjadi mercu tanda kebanggaan yang menyumbang kepada kesejahteraan lebih 30 juta rakyat Malaysia, dengan memastikan 99 peratus kawasan di Semenanjung menerima ‘cahayanya’ melalui bekalan berdaya harap.
Dalam tempoh setahun menjelang sambutan 75 tahun itu, pelanggan TNB di Semenanjung dijangka mencecah 10 juta daripada 9.90 juta sekarang. Malah ia telah pun melampaui angka 10.5 juta pelanggan dengan mengambil kira operasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
TNB kekal sebagai penggerak kemajuan negara dengan mengharungi beberapa transformasi utama, penswastaannya daripada Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1990 disusuli diperbadankan pada 1992, dan kini menjadi peneraju peralihan tenaga dengan aspirasi sebagai pembekal terkemuka bagi penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
Bermula dengan penubuhannya pada 1949, TNB yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) dan LLN pada 1965, terus menjadi pemangkin utama pembangunan negara dengan memastikan rakyat menikmati bekalan tenaga elektrik setanding dengan mana-mana benua.
Ia bukan pencapaian calang-calang dengan hampir 35,000 warga kerja TNB memikul amanah negara sejajar menjunjung matlamat pembangunan lestari (SDG), dalam menyediakan tenaga mampu milik apabila berupaya mengekalkan kadar tarif antara yang terendah di rantau ini dan dunia walaupun berdepan dengan kenaikan kos operasi dan bahan api.
Rakyat menikmatinya dalam suasana cukup selesa yang mana TNB berjaya mencatat penurunan dalam Minit Sistem Penghantaran (transmission) bagi mengukur minit gangguan akibat transmisi bagi setiap tahun di bawah paras 1 minit sejak 14 tahun lalu.
Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) pula menurun secara konsisten di bawah paras 60 minit sejak 2014 dan kekal sekitar 45 minit dengan 45.06 minit pada 2022. SAIDI adalah kaedah industri tenaga global mengukur masa yang dialami pengguna setiap kali bekalan terputus dalam tempoh setahun.
Usaha TNB tekah diiktiraf oleh pelanggannya seperti yang ditunjukkan oleh prestasi konsisten selama dua tahun berturut-turut dalam skor Indeks Kepuasan Pelanggannya sebanyak 87% pada tahun 2022.
Sesungguhnya, syarikat utiliti nasional itu sudah membangunkan ekosistem tenaga serba lengkap berpaksikan manfaat kepada kehidupan manusia, memenuhi peranannya sebagai Penggerak Kemajuan Negara, sepanjang lebih tujuh dekad.
Dari segi infrastrukturnya, TNB telah membina dan mengurus lebih 28,900 kilometer talian penghantaran dengan lebih 25,800 kilometer merentangi hingga ke setiap ceruk Semenanjung, yang menghubungkan 529 pencawang masuk disusuli lebih 769,000 rangkaian pembahagian bagi pengagihan tenaga melalui lebih 96,800 pencawang kepada pelanggan.
Prasarana serba lengkap itu membolehkan TNB mengurus penghantaran 135,776.2 GWh tenaga elektrik sepanjang tahun lalu, termasuk 105,273.8 GWh yang dijana sendiri. Sebab itu, TNB mampu memenuhi segenap permintaan walaupun ketika paling puncak sebanyak 20,215.1 MW termasuk 19,183 MW di Semenanjung.
Ekosistem itu dibangunkan mengikut acuan keperluan dan kepentingan negara serta persekitaran semasa geo politik, sejajar penggunaan teknologi dan gaya hidup supaya terus relevan dalam perubahan landskap industri tenaga.
Demikian sebahagian daripada komitmen TNB menggerakkan kemajuan negara termasuk memodenkan Grid Nasional agar terus menjamin keselamatan bekalan yang stabil dan berdaya harap kepada rakyat selain memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.
Tanggungjawab TNB sebenarnya, melebihi daripada menjadi pembekal elektrik. Dalam matlamatnya membangunkan kehidupan lebih sejahtera di dunia yang lebih baik, TNB terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat melalui pemberian dividen.
Pemberian dividen lebih RM2.18 bilion pada 2022 turut dinikmati keseluruhan rakyat melalui pegangan saham oleh Permodalan Nasional Berhad pada 18.3%, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (15.8%) dan Kumpulan Wang Persaraan (7.3%). Ini tidak termasuk faedah tidak langsung melalui pemegang saham terbesar TNB, Khazanah Nasional Berhad sebanyak 25.5 peratus.
Dalam tanggungjawab sosial korporatnya pula, TNB menyumbang semula kepada masyarakat melalui tiga bidang tumpuan iaitu pendidikan, sosioekonomi dan alam sekitar, termasuk pemberian biasiswa, membina dan membaik pulih kediaman golongan memerlukan, membangunkan kegiatan sukan hoki dan pemuliharaan flora dan fauna. – UTUSAN