PETALING JAYA: Persidangan Antarabangsa Terengganu (TIS) 2023 yang akan berlangsung pada 1 Jun ini di Dewan Konvensyen Tamadun Islam akan dihadiri tokoh pendakwa terkenal, Dr. Zakir Naik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, penganjuran julung kali itu mendapat kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Yayasan Permata Ummah serta Menteri Besar Incorporated (MBI).
Menurutnya, persidangan tersebut turut menampilkan tokoh lain serta ahli politik seperti, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Dr. Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia), dan Profesor Dr. Abdel Rahim Ali Mohammed Ibrahim (Sudan).
Selain itu, turut diundang adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan ucaptamanya pada persidangan tersebut.
“Penganjuran bertemakan ‘Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global’ akan menghimpunkan para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk kontemporari, politik dan kesatuan ummah, serta meneroka penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi umat Islam,” katanya dalam sidang akhbar mengenai persidangan itu, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd. Nor memaklumkan, persidangan kali ini dilihat relevan bagi membincangkan perkara berkaitan Ta’ayush dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari, Uslub Dakwah dalam Masyarakat Majmuk Kontempori serta Politik Islam dan Perpaduan Ummah selepas menyedari dunia berdepan cabaran serta ancaman terhadap agama Islam.
“Perlu difahami Islam adalah agama rahmatan lil’alamin. Berteraskan asas akhlak, kesatuan ummah, kedamaian dan progresif, Islam berkembang ke seluruh pelusuk alam.
“Kedudukan Islam yang merentasi pelbagai bangsa dan budaya menyebabkan ia menjadi agama yang sarat dengan nilai bahkan penerimaan Islam terhadap nilai tempatan sebagai sebahagian cara hidup, selagi menepati akidah menjadikan Islam agama amat komprehensif,” jelasnya. – UTUSAN