SABAK BERNAM: Ditikam dan ditoreh sehingga dua kali sebelum dibakar, itulah situasi dialami seorang wanita berusia 21 tahun yang hamil sebelum maut dalam satu kejadian dekat ladang kelapa sawit Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, di sini, semalam.
Lelaki berusia 20 tahun itu dikatakan sanggup bertindak demikian selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa yang berusia 21 tahun.
Kejadian pertama berlaku pada Isnin malam apabila suspek dipercayai memukul dan meSelain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dikatakan sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat mangsa, kira–kira pukul 8.15 pagi.
Katanya, siasatan mendapati wanita yang hamil empat bulan itu dibawa suspek menaiki sebuah kereta sebelum dibunuh dan dibakar di kebun tersebut, kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
“Namun, suspek kembali ke sekitar lokasi sama untuk sekali lagi membakar mangsa dengan menaiki motosikal dan membawa tong berisi petrol.
“Lelaki yang mahu melupuskan mayat itu kemudian dipercayai membuang semua bahan bukti termasuk barangan mangsa di sekitar Jalan Lama Kuala Selangor,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.
Jelasnya, pasangan kekasih itu dipercayai menjalin hubungan sejak setahun lalu sebelum berlaku perbalahan akibat kehamilan tersebut.
Tambah Agus Salim, siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek dalam tempoh lima jam di sebuah rumah di sekitar Sungai Besar pukul 1.45 petang hari sama.
“Semakan mendapati bekas penuntut sebuah kolej itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah dan turut negatif dadah. Suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, mayat mangsa yang terbakar 60 peratus ini masih berada di Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasatan.
Sehubungan itu, Agus Salim menasihatkan golongan ibu bapa sentiasa memantau ketat pergerakan anak mereka terutama remaja bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku terutama kegiatan jenayah.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kepulan asap di tepi kebun berhampiran kandang lembu membawa penemuan mayat tanpa identiti dalam keadaan tertiarap oleh orang awam kira-kira pukul 7 pagi di kawasan berkenaan. – UTUSAN