Tiga tawaran Kerajaan Perpaduan untuk rakyat Kedah

Tiga tawaran Kerajaan Perpaduan untuk rakyat Kedah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, Kerajaan Perpaduan menawarkan untuk membangunkan tiga sektor utama di Kedah melibatkan pertanian, infrastruktur terutama bekalan air dan pendidikan termasuk institusi tahfiz.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu akan menjadi lebih lancar sekiranya memiliki kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Pusat bukan hanya akan memastikan Kedah kekal sebagai negeri jelapang padi tetapi nasib para petani yang akan terus dibantu untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Untuk rakyat Kedah, Insya-Allah apabila kita dapat ambil alih negeri ini kita akan beri keutamaan dengan program yang sudah dirancang Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan dan ini bukan hanya soal keterjaminan makanan dan menjadikan Kedah berterusan sebagai negeri jelapang padi. 

“Tetapi adalah keberhasilan produktiviti kepada usahawan-usahawan padi yang mesti dipertingkat. Untuk itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan mencari metodologi atau kaedah baharu bagi mempertingkat keberhasilan padi ini. 

“Bantuan melalui pendekatan yang sama sebab pesawah padi harus dibela. Bukan hanya dengan soal harga padi tetapi soal baja dan lain-lain bantuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Negeri 2023 anjuran Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah di sini hari ini.

Menjelaskan mengenai pendidikan maahad tahfiz, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berazam untuk membantu pelajar terlibat di Kedah menguasai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain terus memperkukuh ilmu al-Quran. 

“Pada masa sama kerajaan juga tidak akan meminggirkan sekolah Cina dan sekolah yang lain. Kewajaran untuk bantu maahad tahfiz bukan hanya soal pembelajaran atau al-Quran tetapi menyalurkan (pelajar) mereka untuk berada di tingkat yang lebih tinggi.

“Maka Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan juga universiti lain di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited untuk menyalurkan mereka mendapat bukan sahaja diploma tetapi ijazah hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah,” katanya. 

Ahmad Zahid memaklumkan, setakat ini terdapat kira-kira 9,000 pelajar maahad tahfiz daripada 1,199 institusi itu di Kedah selain akan berusaha membantu mendaftarkan maahad tahfiz yang belum berbuat demikian di bawah agensi berkaitan. 

Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa isu air di Kedah untuk penggunaan domestik akan ditangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan manakala usaha meningkatkan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar dengan liputan rangkaian 5G akan turut diberikan penekanan.

“(Kawasan) luar bandar saya telah beri penekanan agar kawasan itu jangan pernah tertinggal dan dipinggirkan untuk mendapat liputan 5G dan kita akan lakukan koordinasi khususnya di kawasan luar bandar,” jelasnya. 

Ketika ditanya adakah kesemua fokus itu akan menjadi manifesto gabungan itu dalam PRN kelak, beliau berkata, ia bukan sekadar retorik tetapi kesungguhan kerajaan untuk menjayakannya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya