SHAH ALAM: Tiga mahasiswa Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) raih pencapaian membanggakan dalam Peperiksaan Badan Akauntan Bertauliah (ACCA) di peringkat tempatan dan antarabangsa baru-baru ini.
Mahasiswa Julea Qiestyna Abu Zar dan Safwa Zamri masing-masing dari UiTM Kampus Dungun, Terengganu dan Tapah, Perak menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘Rekod Transaksi Kewangan’ dengan kedudukan pertama di Malaysia dan kedua di dunia.
Selain itu, seorang lagi mahasiswa dari UiTM Shah Alam, Danish Zafran Bazam yang menerima ACCA Prize Winner iaitu tempat pertama di Malaysia dan ketiga di dunia dalam peperiksaan Mac 2023 bagi kertas ‘Pengurusan Prestasi’.
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan kejayaan ketiga-tiga mereka sebagai pembakar motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa lain,keluarga, fakulti, universiti dan rakyat Malaysia secara amnya.
Menurut Danish Zafran, kejayaan yang dicapainya bukan sesuatu yang mudah kerana dia perlu merancang masa dengan sebaik mungkin bagi mencapai objektif sebagai seorang pelajar perakaunan.
“Saya bukanlah seorang ulat buku, sebaliknya sibuk dengan aktiviti-aktiviti harian yang lain. Kejayaan saya berbekal keyakinan diri yang tinggi, usaha yang konsisten, fokus yang tinggi di dalam sesi kuliah serta tidak segan bertanya kepada pensyarah.
“Faktor ini banyak menolong saya untuk menambah baik kecemerlangan akademik selain mengulangkaji dengan cuba menjawab soalan peperiksaan dan merujuk jawaban untuk soalan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Danish Zafran memaklumkan dia berhasrat untuk meraih tempat pertama peringkat dunia untuk lain-lain kertas pula pada masa depan. – UTUSAN