ALOR SETAR: Tiga lelaki warganegara Thailand masing-masing didenda RM27,000; RM30,000 dan RM28,000 setelah mereka mengaku bersalah mengisi minyak diesel melebihi kuantiti dibenarkan untuk dibawa keluar dari negara ini, bulan lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Jean Sharmila Jesudason sebaik pertuduhan dibacakan terhadap ketiga-tiga tertuduh oleh jurubahasa dalam bahasa Siam di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.
Dalam penghakimannya, Jean Sharmila turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara antara tujuh hingga lapan bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan. Kesemua kenderaan yang terlibat dalam kes itu turut diarahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama, Sakda Thaenkeson, 24, didakwa mengisi sejumlah 53 liter diesel ke dalam tangki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, manakala tertuduh kedua, Kittisak Thongluean, 36, didakwa mengisi sebanyak 72 liter dalam kenderaan jenis Isuzu Dmax.
Tertuduh ketiga, Phanuphong Yava, 23, pula didakwa mengisi diesel berjumlah 61 liter ke dalam kenderaan jenis Chevrolet Colorado. Kesemua mereka didakwa berbuat demikian dengan tujuan membawa keluar minyak diesel itu dari Malaysia.
Jumlah minyak diesel yang diisi dalam ketiga-tiga kenderaan tersebut melebihi kuantiti dibenarkan iaitu 20 liter.
Tertuduh pertama dan ketiga didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11 pagi, 11 April lalu manakala tertuduh kedua didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.50 pagi, pada 13 April lalu.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhamad Saiful Saaidin mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011.
Hanya Kittisak diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli manakala tertuduh pertama dan ketiga tidak diwakili peguam. UTUSAN