PETALING JAYA: Semua pihak diminta untuk tidak mempersoalkan lagi bantuan khas kepada sekolah persendirian Cina di seluruh negara yang diluluskan Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, ini kerana peruntukan tersebut diberi kepada sekolah yang diusahakan komuniti untuk masyarakat Cina yang bukan berasaskan keuntungan dan bukannya kepada sekolah komersial.
Malah katanya, bantuan khas itu juga sudah berbentuk tetap yang disalurkan secara tahunan sejak pentadbiran sebelum pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi.
“Bantuan ini sudah pun lama, biarpun zaman Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), sekarang Kerajaan Perpaduan, memang bantuan ini ada.
“Jadi saya tidak faham mengapa sekarang ia dipersoalkan sedangkan sebelum ini ia tidak ditimbulkan.
“(Lagi pula) bantuan ini untuk pendidikan, bukannya buat jamuan besar-besaran atau untuk pilihan raya negeri, ini sememangnya satu bantuan tahunan kepada sekolah yang tidak berasaskan keuntungan.
“Saya harap tidak ada pihak yang timbulkan isu ini memandangkan sebelum ini geran tersebut sudah berbentuk tetap secara tahunan dan kuantumnya pun lebih kurang sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan meluluskan bantuan khas RM15.75 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara dengan setiap sekolah akan menerima RM250,000 dengan majlis penyerahan rasmi dijangka pada 5 Mei ini.
Bagaimanapun ada yang mempersoalkan bantuan khas itu dan menyarankan agar kerajaan meneliti semula kadar peruntukan tersebut.
Semalam akhbar ini melaporkan, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, peruntukan besar tersebut sepatutnya hanya diberikan dengan syarat untuk membantu kerosakan tertentu di sekolah-sekolah terbabit.
Menurut beliau, dana tersebut tidak boleh diberi atas kapasiti tertentu atau untuk memenuhi permintaan kesatuan.
Pada masa sama, Pemuda UMNO menyuarakan cadangan sama supaya kadar peruntukan purata diseragamkan dengan peruntukan kepada institusi pendidikan agama dan bakinya perlu diberikan kepada sekolah aliran kebangsaan yang secara jelas untuk semua kaum dan berpaksikan silibus kebangsaan. – UTUSAN