Tidak mudah PH-BN rampas Kedah - Sanusi

Tidak mudah PH-BN rampas Kedah – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika berucap pada Himpunan Jentera Pilihanraya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, Yan. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak memiliki laluan mudah untuk merampas negeri Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) disebabkan beberapa perkara terutamanya rekod pemerintahan lalu kedua-dua gabungan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun PN memiliki kelebihan ketika ini, namun mereka juga tidak memandang mudah lawan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Memang Kedah menjadi tarikan baik di pihak PN mahupun PH-BN. Kita sedang memerintah, mereka pula berhasrat nak rampas negeri ini kerana mereka nak rampas Kelantan dan Terengganu tak larat, jadi mereka pulun di Kedah.

“Bukan jalan mudah untuk PH dan kita pun tak anggap pakatan mereka itu mudah dihadapi. Sebab itu kita persiapkan jentera lebih awal dan sudah mulakan kempen yang dibenarkan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada minggu keempat Jun,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Himpunan Jentera Pilihanraya PN, malam tadi.

Jumaat lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin gabungan itu bersama PH mampu memberi saingan di negeri-negeri yang memiliki majoriti Melayu yang ditadbir Pas iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN mendakwa, PH dan BN pernah menjadi kerajaan di Kedah tetapi tidak memberikan impak yang baik kepada rakyat negeri itu.

“Masa jadi kerajaan depa buat apa? Apa hasil tangan PH di Kedah, tolong tunjuk kalau ada. Semasa BN perintah Kedah saya nak ingatkan semula pada tahun 2008 kita (kerajaan Pas ketika itu) telah buat audit dan mendapati BN tinggal hutang bekalan air berjumlah RM2.4 bilion.

“Mai PH (jadi kerajaan) tinggal hutang gaji pemain bola sepak tak bayar RM16 juta. Kutip dana kes Akhyar (Rashid) dapat RM50,000 dan masuk akaun cuma RM10,000. Kita tak cerita lagi duit persatuan hoki.

“Setiap orang itu semua ada penyakit, nak bawa balik jadi kerajaan di Kedah ini jahanam lah negeri ini. Untuk elak benda itu dan kekal negeri ini bersih, tenang dan berdaya huni maka kekalkan lah PN sebagai kerajaan yang tadbir Kedah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ujar Muhammad Sanusi, kesemua menteri besar dan ketua menteri di enam negeri terlibat PRN masih memiliki persefahaman untuk membubarkan DUN serentak bagi membolehkan tarikh mengundi yang sama.

Katanya, persefahaman hasil pertemuan pada Februari lalu setakat ini tidak berubah dan disebabkan tiada perjumpaan susulan yang khusus untuk membincangkan perkara itu, maka rundingan tersebut dianggap masih terpakai selagi tiada perubahan.

“Tak ada siapa buat rancangan apa pun. Saya tak pasti kalau PH tiba-tiba bertukar angin tetapi Kedah, Kelantan dan Terengganu masih sama mahukan tarikh pilihan raya yang sama. Ada risiko kalau tak buat sekali, sama ada mereka akan ‘renyak’ kita atau pun kita ‘renyak’ mereka. Jadi lebih baik adakan sekali,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya