Tiada permohonan tutup sekolah akibat cuaca panas

Tiada permohonan tutup sekolah akibat cuaca panas

LIM Hui Ying (tengah) ketika melakukan lawatan kerja di SK Taman Rakyat di Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menerima permohonan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menutup mana-mana sekolah di seluruh negara setakat ini susulan keadaan cuaca panas.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying meminta pihak JPN supaya terus peka dengan memantau keadaan cuaca setiap hari di negeri masing-masing.

Katanya, JPN boleh menutup sekolah sekiranya suhu mencecah 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut bagi menjamin keselamatan warga sekolah terutama kalangan murid dan pelajar.

“Kita mesti berhati-hati dan pantau setiap hari. Di Kedah ini pagi panas tetapi hujan pada sebelah petang, jadi harap ia dapat kurangkan sedikit haba.

“Haba memang hangat, jadi kita nasihatkan guru dan murid-murid agar minum banyak air dan kurangkan aktiviti luar kelas,” katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat, di sini hari ini.

Terdahulu Hui Ying mengumumkan peruntukan pembaikan dan penyelenggaraan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathy masing-masing berjumlah RM200,000 dan RM150,000 masing-masing kepada SK Taman Rakyat dan SJKC Keat Hwa S.

Menurut beliau, pihak sekolah juga diminta tidak menjalankan aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan tahunan buat sementara waktu sepanjang cuaca panas.

“Selain itu, KPM juga memberi kebenaran kepada murid dan guru untuk memakai pakaian sukan semasa cuaca panas, selain tidak diwajibkan memakai tali leher bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah,” ujarnya.

Tambahnya, kes membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang meninggal dunia di Kluang, Johor kelmarin pula disahkan bukan akibat strok haba.

“Kematian kanak-kanak itu disahkan akibat faktor kesihatan yang lain. Namun, walau apa pun kita di KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan dan memastikan kejadian tidak diingini itu daripada berlaku,” katanya.

Dalam kejadian itu, bapa mangsa, Syahrol Azmi Mohd. Hekak, 42, berkata, anak keduanya, Airel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan kematian kanak-kanak itu disebabkan strok haba, sebaliknya ia adalah disebabkan jangkitan pada otak selepas dia mengalami sawan dan demam panas. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya