KUALA LUMPUR: Tiada keperluan mewujudkan Kementerian Khas Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan isu-isu yang tertangguh di kedua-dua negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan itu akan mengakibatkan berlaku pertindihan fungsi dan dikhuatiri menjejaskan usaha penurunan kuasa.
“Kalau tanya saya pastinya saya inginkan kementerian sendiri untuk Sabah dan Sarawak tetapi lebih wajar kita beri fokus dan komitmen sepenuhnya kepada untuk kita selesaikan isu tertangguh berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana itu asas dan mandat penubuhannya.
“Kita perlu lihat semangat prinsip MA63 itu untuk beri kuasa kepada Sabah dan Sarawak. Jadi setakat ini kita perlu menjunjung prinsip itu tanpa perlu mewujudkan kementerian khusus yang akhirnya kelak mungkin bukan hanya menyebabkan pertindihan di peringkat persekutuan tapi menjejaskan usaha menurunkan kuasa.
“Biarlah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BESS) berfungsi sebagai sekretariat di antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak tanpa perlu mengganggu gugat fungsi-fungsi di setiap kementerian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Foi (GRS). – UTUSAN