KUANTAN: Seorang warga emas berusia 77 tahun teruja dapat mengerjakan ibadah haji buat kali kedua selepas kali pertama menunaikannya 24 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, warga emas itu, Arpah Sulaiman berkata, lebih mengujakan, ibadah haji kali ini ditunaikan bersama anak kelimanya, Noor Azlina Jahran, 51.
Katanya, sebelum ini, dia yang berasal dari Felda Jengka 16, Maran di sini mengerjakan haji berseorangan.
“Masa itu umur saya 53 tahun. Saya pergi seorang diri sahaja. Tapi ketika itu ada rakan-rakan sekampung ke Tanah Suci.
“Kali ini lebih teruja dan seronok kerana ditemani anak kelima yang pergi sebagai pengiring kerana usia dan faktor kesihatan,” katanya di sini semalam.
Ditanya perbezaan mengerjakan haji kali pertama dan kedua, Arpah berkata, ketika kali pertama keadaan fizikalnya masih cerdas dan sihat.
“Kini saya perlu pergi dengan bergantung kepada tongkat yang juga boleh digunakan sebagai kerusi. Kalau saya penat, saya boleh duduk.
“Selain itu, ada juga disediakan kerusi roda sekiranya perlu menggunakan kerusi roda nanti,” katanya.
Katanya, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius selain pernah menghidap darah tinggi yang kini semakin terkawal.
Tambahnya, dia berharap terus diberikan kesihatan yang baik untuk menunaikan haji kali kedua ini.
“Setakat ini belum dapat tarikh lagi bila akan ke sana, tapi saya berharap dapat pergi dan pulang dalam keadaan sihat,” kata ibu kepada lapan anak itu. – UTUSAN