Terpijak dawai kokot berkarat, kini terlantar di rumah

Terpijak dawai kokot berkarat, kini terlantar di rumah

JUNAIDI Awang Kechik dibantu anak tirinya, Muhamad Fakhrul Izat Mohd. Kassim, 23, setiap kali bergerak ke mana-mana selepas kakinya dijangkiti kuman ekoran terpijak dawai kokot berkarat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang lelaki dari Bukit Mertajam, di sini terpaksa menghabiskan kebanyakan masanya terlantar di rumah selepas kaki kirinya dijangkiti kuman ekoran terpijak dawai besi berkarat.

Junaidi Awang Kechik, 48, tidak menyangka insiden kecil itu membawa impak yang besar dalam kehidupannya sekeluarga selepas dia tidak lagi mampu meneruskan kerja sebagai kru teknikal sebuah syarikat pengurusan majlis.

“Memang tak jangka jadi begini disebabkan hanya terpijak dawai kokot yang berkarat sedikit di hujung matanya.

“Ketika itu tak terfikir pun risikonya sebab hanya beranggapan luka kecil sahaja. Tak sangka sampai melarat hingga menyebabkan serangan jangkitan kuman pada bahagian kaki kiri iaitu dari bawah paras lutut sehingga tumit,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya dekat Bandar Perda, di sini baru-baru ini.

Junaidi berkata, serangan kuman pertama berlaku sekitar 2021 dan berlanjutan sehingga tahun lepas sehingga doktor menyatakan tulang tumitnya terpaksa dibuang akibat jangkitan kuman yang semakin melarat.

“Sekarang memang tak boleh nak bergerak aktif sangat. Kaki juga akan sentiasa berbalut kerana bimbang akan ada luka baharu. 

“Mujur anak tiri lelaki yang banyak membantu memudahkan pergerakan seharian seperti menghantar saya untuk mendapat rawatan di klinik dan hospital,” katanya yang turut menghidap kencing manis, darah tinggi, masalah kolestrol dan kabur kedua-dua belah matanya.

Bapa kepada dua cahaya mata termasuk seorang anak Sindrom Down itu berkata, keadaan bertambah sulit apabila isterinya, Noraniza Ismail, 46, pula menghidap kanser payudara yang kini di tahap ketiga.

“Sebelum ini isteri kerja kilang, namun pada tahun lepas dia didiagnos menghidap kanser payudara. Memang terduduk kerana ketika itu isteri mempunyai pekerjaan setelah saya sakit terlantar,” katanya yang turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Sementara itu, Noraniza berkata, meskipun dia tidak boleh bergerak terlalu aktif disebabkan penyakitnya, dia terpaksa meneruskan kehidupan sekeluarga dengan menjual mi kari yang diletakkan di beberapa kedai makan sekitar Bandar Perda, di sini.

“Mujur ada anak lelaki sering menjadi tukang hantar mi ke kedai-kedai selain turut membantu menguruskan adik-adiknya di rumah.

“Malangnya, akibat sering minta cuti disebabkan perlu uruskan keluarga, dia pula dibuang kerja,” katanya yang turut mendapat bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM500 sebulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Noraniza di nombor 1521-0800-8392 atau menghubungi talian 016-515 5659. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya