PUTRAJAYA: Desas-desus kemelut isu pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Dr. Mohd. Muzzammil Ismail akhirnya terjawab susulan pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengakui agensi berkenaan dalam proses pertukaran kepimpinan.
Beliau berkata, pihaknya sedang merombak serta memperkemaskan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Yayasan Peneraju dengan membuka calon yang layak untuk tampil memohon.
“Jika saya lantik sendiri, mungkin nanti ada isu pula dengan individu tersebut, maka saya pilih untuk buka seluas-luasnya kepada mana-mana profesional yang berminat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Media tempatan awal bulan ini melaporkan Mohd. Muzammil dipecat daripada jawatannya meskipun status kontrak Bendahari UMNO Kuala Kedah itu berakhir pada Oktober 2024.
Berita pengguguran itu tular diperkatakan oleh warganet kerana ia turut melibatkan khabar angin pembuangan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abdul Rahman selepas dilantik mengetuai badan itu pada 2019.
Kedua-dua agensi berkenaan yang asalnya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dipindah kepada Kementerian Ekonomi susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Teraju ditubuhkan kerajaan pada 2011 untuk misi memperkasakan penyertaan ekonomi Bumiputera tempatan berdasarkan Pelan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.
Yayasan Peneraju pula diwujudkan pada 2012 dengan matlamat mengukuhkan bakat Bumiputera menerusi pensijilan akademik yang telah memanfaatkan lebih 30,000 penerima.
Calon yang memohon jawatan tertinggi itu, ujar Rafizi, akan melalui proses saringan ketat termasuk temuduga sebelum dimuktamadkan oleh satu panel jawatankuasa penilaian.
Pada masa yang sama, beliau turut mempelawa individu berbakat untuk menawarkan diri menjadi anggota dalam Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat (MED4IR).
Meskipun jawatan tersebut tiada sebarang pendapatan tetap, namun beliau berkata, mereka yang ada idea bernas dan berjiwa patriotik wajar merebut peluang dibuka kerajaan.
MED4IR yang juga diletakkan di bawah Kementerian Ekonomi, ditubuhkan pada 2021 dan dipengerusikan sendiri Perdana Menteri berbanding sebelum ini oleh menteri ekonomi. – UTUSAN