PUTRAJAYA: Proses tapisan keselamatan bagi permohonan kewarganegaraan dijangka dapat dikurangkan kepada lima hari berbanding 53 hari sebelum ini.
Itu jaminan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaik sahaja sistem integrasi yang dibangunkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu beroperasi sepenuhnya Oktober ini.
Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman berkata, ketika ini, sistem integrasi itu sedang dibangunkan sekali gus memastikan permohonan kewarganegaraan dapat diproses dengan lebih pantas.
Beliau berkata, bagi permohonan yang bermasalah pula, tempoh masa pemprosesan dapat dikurangkan daripada 73 hari kepada 14 hari bekerja.
“Bermula Jun 2023 ini juga, pelanggan yang membuat permohonan pelepasan kewarganegaraan di bawah Perkara 23 Perlembagaan Persekutuan boleh menyemak status permohonan mereka secara dalam talian.
“Pada masa sama, JPN kini dalam usaha mempercepat proses pertimbangan dan membuat keputusan bagi permohonan kewarganegaraan yang kini diturunkan kuasa oleh Menteri Dalam Negeri kepada Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.
“Perkara itu tertakluk kepada permohonan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 15(1) [Pendaftaran isteri dan anak warganegara] dan Perkara 16 [Pendaftaran kerana lahir sebelum Hari Merdeka],” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 (APC) dan Majlis Persaraan 2023 JPN, di sini hari ini.
Seramai 45 pesara dan bakal pesara JPN diraikan pada majlis itu selain 328 penerima APC yang disampaikan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, permohonan kewarganegaraan yang telah selesai diproses segera dipertimbang melalui Panel Jawatankuasa yang bersidang pada setiap minggu.
Zamri berkata, pihaknya menyasarkan 3,000 permohonan kewarganegaraan dapat dikeluarkan keputusan menjelang akhir tahun ini.
“Insya-Allah, tiada permohonan tertunggak sebelum akhir tahun ini,” katanya. – UTUSAN