KUALA SELANGOR: Seorang kanak-kanak lelaki menanggung azab lebih 30 minit apabila tangan kirinya tersepit pada rantai motosikal berdekatan Balai Raya Sungai Terap, Tanjong Karang di sini, semalam.
Kejadian berlaku selepas jaket dipakai mangsa berusia 11 tahun itu tersangkut di rantai tersebut ketika membonceng motosikal ditunggang ibunya.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 6.21 pagi.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati tangan kanak-kanak berkenaan masih tersepit di rantai motosikal berkenaan.
“Operasi menyelamatkan mangsa kemudian dilakukan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambanya, mangsa mengalami cedera terkoyak kulit dan isi di bahagian siku dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut. – UTUSAN