KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan bahawa Proklamasi Orang Melayu yang ditandatangani tiga pemimpinnya tidak berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, tandantangan yang diberikan bukanlah mewakili parti tetapi sebaliknya sebagai individu.
“Kami tandatangan (proklamasi) itu hanya sebagai individu dan tiada perbicangan mengenai kerusi termasuk kemasukan parti Gerakan Tanah Air (GTA) untuk PRN nanti.
“Kita hanya bercakap mengenai penyatuan Melayu sebab kita nampak Melayu berpecah dari segi petubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pun banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Majlis Bersatu Beraya bersama Media di Wangsa 118, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tiga pemimpin Bersatu turut menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan bekas Perdana Menteri dan Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selain Razali, dua lagi pemimpin Bersatu adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.-utusan