HULU TERENGGANU: Cuaca panas melanda negara menyebabkan tanaman rumput napier diusahakan seorang petani di Kampung Binjai Kertas di sini terjejas sekali gus mengganggu proses fermentasi untuk bekalan makanan ternakan.
Mohd. Ridzuan Mamat, 41, berkata, tumbesaran rumput napier jenis ‘Pak Chong’ ditanamnya tidak mencapai ketinggian sepatutnya iaitu antara tiga ke empat meter dalam tempoh 45 hari sebelum dituai.
“Ia mula berlaku sejak Mac lalu dan kian dirasai kerana suhu cuaca yang makin panas sehingga saya terpaksa ‘rehat’ seketika. Ketinggian rumput cuma capai sekitar dua meter kerana kurang air untuk tumbesaran.
“Inisiatif untuk panjangkan masa tanaman sehingga 60 hari akan mengganggu jadual pusingan tanaman pula selain tidak efektif kerana kawasan tanaman berkenaan belum ada sistem penyiraman atau paip siram.
“Berbanding tahun lepas, terima taburan hujan setiap bulan. Keluasan tanaman saya usahakan kira-kira 20 hektar dan kerana cuaca panas ketika ini, terpaksa tangguhkan perancangan untuk buka kawasan tanaman baharu tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambah Mohd. Ridzuan yang usahakan tanaman sejak empat tahun lalu, selepas dituai rumput napier akan dihantar ke tempat pemprosesan di Kampung Langgar, Hulu Terengganu untuk diproses menjadi silaj iaitu makanan haiwan ternakan.
“Hasil pengeluaran berkurangan sehingga ke paras bawah 10 tan seekar sejak Mac lalu berbanding antara 12 hingga 15 tan sebelum ini. Kerugian ditanggung cecah puluhan ribu ringgit termasuk tanaman yang musnah akibat banjir musim tengkujuh sebelum ini.
“Saya belum mampu sediakan kemudahan sistem penyiraman yang dianggarkan mencecah RM50,000. Menjadi harapan saya jika ada pihak dapat membantu,” katanya. – UTUSAN