PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Garis Panduan Program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS) tidak hanya menjadi dokumen atas kertas sahaja tetapi ia mesti dilaksanakan.
Menurutnya, AAGS yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu merangkumi dua pelan tindakan iaitu program advokasi pencegahan gangguan seksual dan advokasi kesedaran gangguan seksual.
“Antara garis panduan dinyatakan termasuk menambah baik infrastruktur kamera litar tertutup (CCTV) di kemudahan awam dan kemudahan pencahayaan di kawasan tertentu.
“Langkah lain termasuk mewujudkan jawatankuasa khas di tempat kerja, menambah baik kod amalan dan etika di tempat kerja dan pelaksanaan kursus pencegahan gangguan seksual.
“Garis panduan itu penting bagi meningkatkan pencegahan terhadap gangguan seksual di tempat kerja, pengangkutan awam, fasiliti pendidikan dan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya ketika berucap merasmikan Jerayawara Program AAGS di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya, beliau juga mahu masyarakat didedahkan dengan elemen kesedaran mengenai perlakuan yang menjurus kepada gangguan seksual dan tindakan yang boleh diambil terhadap perkara itu.
Ahmad Zahid berkata, penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sebelum ini juga menjadi satu manifestasi kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual adalah pelanggaran kepada hak asasi manusia.
“Akta ini mencerminkan komitmen kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani serta menghapuskan diskriminasi berasaskan gender khususnya dalam soal gangguan seksual,” katanya.
Akta 840 diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022 dan mula dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lalu.
Sementara itu, Nancy berkata, beliau berharap pelaksanaan program advokasi berkenaan akan membantu menyediakan persekitaran yang selamat bukan hanya pada wanita, bahkan lelaki.
“Program ini juga bertujuan menjalin kolaborasi strategik dengan semua pihak bagi meningkatkan pencegahan dan kesedaran gangguan seksual,” katanya.
KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita akan melaksanakan program advokasi itu di premis awam dan tempat kerja di peringkat komuniti sepanjang 2023 di seluruh negara. – UTUSAN