KUALA LUMPUR: Pelakon, Fauziah, Nawi, 68, tidak pernah menyimpan rasa kecewa kerana belum berpeluang menggenggam trofi aktres terbaik dalam mana-mana majlis penganugerahan di negara ini.
Kata pelakon yang mesra disapa sebagai Ibu Fauziah itu, dia percaya bahawa rezeki ditentukan Allah S.W.T, justeru hanya bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya sehingga ke hari ini.
“Saya pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin ke-18 bagaimanapun kalah di tangan Puteri Balqis.
“Tapi saya tak pernah kecewa, mungkin saya belum layak atau tak cukup bagus untuk menang.
“Saya juga tak terkilan sebab tak pernah dapat anugerah aktres terbaik. Saya suka bidang ini tapi tak pernah masuk sebab anugerah atau populariti,” katanya.
Fauziah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media teater Orang Suara Kuat! baru-baru ini.
Teater tersebut, yang secara eksklusif menampilkan persembahan monolog seniwati tersohor itu bakal dipentaskan bermula 27 hingga 29 Mei depan di Studio Stefani, Ampang.
Lima dekad berkecimpung dalam dunia seni, Fauziah pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2018.
Selain itu, pelakon disegani itu juga pernah menerima Anugerah Sepanjang Zaman Festival Filem Malaysia ke-31 selain dipilih sebagai Tokoh Seri Angkasa, Anugerah Seri Angkasa tahun lepas.
Bagaimanapun, seniwati ini tidak pernah meletakkan penganugerahan sebagai dorongan untuk terus berkecimpung dalam dunia seni.
“Saya cuma nak perform dan mahu terus berada dalam bidang ini kerana ia adalah punca rezeki saya.
“Kalau orang nak bagi anugerah, saya terima. Seperti arwah ayah saya pernah katakan, rezeki masing-masing.
“Saya bersyukur, pada usia menghampiri 70 tahun, saya masih relevan. Rezeki tak pernah putus, masih ditawarkan berlakon dan mengajar lakonan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, disoal tentang penganugerahan Datuk, Fauziah merasakan dia belum layak untuk dianugerahkan status tersebut.
“Bukan tak nak, tapi, layak ke saya? Saya malu kalau ada yang tawarkan pangkat begitu sebab saya bukan orang berduit. Saya nak sumbang apa kepada masyarakat?” ujarnya.