PETALING JAYA: Penyanyi, Erna Elliana menepis dakwaan kononnya dia sudah meletakkan titik noktah dalam dunia seni selepas bergelar usahawan wanita berjaya.
Jelas Erna, dunia nyanyian tetap menjadi cinta pertamanya namun dek perkembangan perniagaan termasuk cabang baharu yang mula diteroka, kekangan masa menyebabkan dia mula menyusun tawaran yang datang.
“Saya memang sayangkan dunia hiburan tetapi saya masih belum tergerak hati untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan seperti dahulu. Mungkin kerana kesibukan dalam bisnes.
“Saya mengaku ramai peminat yang menghantarkan mesej dan meminta saya untuk melakukan kemunculan semula dalam bidang seni, tapi buat masa ini, biarlah saya fokus dalam perniagaan terlebih dahulu.
“Minat saya masih kukuh dalam hiburan ini saya salurkan menerusi tajaan pelbagai program dan festival. Terbaharu, menerusi perniagaan yang diusahakan, kami bakal menaja beberapa siri konsert,” katanya.
Tambah penyanyi Bukan Untuk Sesaat itu lagi, dia kini menzahirkan minat dalam bidang hiburan dengan menaja pelbagai program, termasuklah beberapa konsert besar yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Terbaharu, menerusi jenama kecantikan Kamya Glow dan restoran Daigor Hong Kong Muslim, Erna maju setapak ke hadapan apabila menaja konsert penyanyi Indonesia, Andmesh Kamaleng yang bakal berlangsung 4 Jun depan.
“Kamya Glow menjadi penaja konsert yang bakal diadakan pada 4 Jun hadapan manakala Daigor yang baru sahaja dibuka menaja acara makan malam sempena Meet & Greet bintang berbakat besar Indonesia itu bersama peminat,” katanya.
Sementara itu, bercerita tentang cabang perniagaan baharu yang diceburi, Daigor Hong Kong Muslim, Erna berkaya, dia dan pasukan telah membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir tujuh bulan untuk mendapatkan rasa yang paling dekat dengan apa yang dijual di Hong Kong.
Restoran yang terletak di Jumpa @ Plaza Sungei Wang, Bukit Bintang itu juga menyajikan itik panggang yang sememangnya terkenal dalam kalangan penggemar makanan Hong Kong itu.
“Menu istimewa yang wajib dicuba ialah itik panggang. Susah nak cari itik panggang yang berstatus halal di negara kita tetapi kami menjadikan ia sebagai tarikan untuk berkunjung ke Daigor.
“Selain itu, hidangan Cheese Baked Rice dan pelbagai jenis daging, makanan laut, charcoal custard lava bun dan juga air kopi antara keistimewaan yang ditawarkan di sini,” katanya.