PETALING JAYA: Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak dan menyebabkan taburan hujan yang rendah berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan hingga September.
“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten berlaku dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, walau bagaimanapun, hujan lebat, angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.
“Garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya.
Muhammad Helmi berkata, jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal terutamanya pada Julai hingga September.
“Pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini,” ujarnya.
Katanya, maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22- 1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.- utusan