PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan tidak pernah menggugat syiar Islam di negara ini sejak pembentukannya pada akhir tahun lalu sepertimana ditohmahkan segelintir pihak tertentu.
Jaminan tersebut ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merujuk dakwaan parti tertentu kononnya Islam di Malaysia terancam teruk.
“Jika ada cuba menekankan slogan Islam tergugat di negara ini, saya ingin jelas komitmen Kerajaan Malaysia Madani sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai sesi libat urus Program Tabika Pra-Tahfiz Kemas di sini.
Semalam, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mendedahkan dapatan kajian sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 melaporkan ahli politik negara ini lebih suka memainkan isu kaum dan agama bagi meraih sokongan rakyat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, dapatan CIJ itu jika benar membuktikan ada orang politik sengaja ‘bermain’ isu agama dan perkauman sempit tanpa menoleh kesan buruk.
“Ini bukan baharu malah pernah ada fatwa dikeluarkan oleh seorang tokoh tertentu mengkafirkan parti lawan dan hingga sekarang amanatnya tidak pernah ditarik,” katanya.
Perkara sedemikian ujar beliau, tidak wajar diizinkan berlaku di Malaysia kerana ia telah memecahbelahkan kesatuan umat Islam berbeza parti tetapi mengucap syahadah sama.
Ahmad Zahid juga mengulangi komitmen Kerajaan Perpaduan akan meneruskan pelbagai program pengukuhan Islam di seluruh negara namun tanpa meminggirkan pihak yang lain. – UTUSAN