Syarikat penerbangan tempatan digalak guna SAF

Syarikat penerbangan tempatan digalak guna SAF

ANTHONY Loke (tengah) bersama pengurusan Petronas bergambar selepas menaiki pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur yang menggunakan bahan api SAF ketika berkunjung ke Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan menggalakkan syarikat penerbangan tempatan menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) terhadap pesawat mereka sebagai sebahagian usaha untuk menurunkan kadar pelepasan emisi dan karbon kepada alam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, meskipun Malaysia setakat ini masih tidak mewajibkan penggunaan bahan api tersebut namun peralihan ke arah itu berkemungkinan akan berlaku pada masa depan.

“Sebagai ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Malaysia tertakluk kepada sebarang peraturan yang ditetapkan oleh organisasi itu memandangkan industri penerbangan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon.

“Di Eropah mereka sudah mewajibkan penggunaan SAF dalam kalangan syarikat penerbangan. Tetapi kita jangkakan peralihan kepadanya akan berlaku pada masa hadapan di negara kita selaras dengan hasrat kita mengurangkan pelepasan karbon,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menaiki pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Langkawi yang menggunakan bahan api SAF campuran minyak bio dan minyak jet konvensional yang dibekalkan Petronas.

Tambah Anthony, Malaysia turut berpotensi untuk muncul sebagai hab bagi penyelesaian penerbangan mampan melalui penggunaan bahan api tersebut.

“Kami juga menyedari ianya bukan sahaja akan membantu mengurangkan pelepasan karbon yang berkaitan dengan perjalanan udara, tetapi juga membantu meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan mampan.

“Kita boleh mewujudkan situasi menang-menang untuk persekitaran, ekonomi dan komitmen global kita dan pada masa berharap berharap Petronas dapat memainkan peranan di Malaysia dalam mempromosikan dan menghasilkan SAF,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kos penggunaan SAF dijangka dapat direndahkan selepas pengeluaran bahan berkenaan dapat dihasilkan sepenuhnya di dalam negara, berbanding diimport ketika ini.

“Memang timbul isu syarikat penerbangan enggan menggunakan SAF kerana kosnya agak tinggi, maka kerajaan mungkin boleh memberikan insentif kepada pihak yang menggunakan bahan berkenaan pada masa hadapan.

“Saya difahamkan Petronas bakal mengeluarkan SAF sendiri pada tahun ini, ia dijangka mampu mengurangkan harga bahan api itu dan menarik minat syarikat penerbangan tempatan menggunakannya selepas ini,” katanya.

Pesawat Boeing 737-800 untuk penerbangan MH603 antara Kuala Lumpur – Singapura dan MH606 Singapura – Kuala Lumpur menjadi penerbangan penumpang pertama milik Malaysia Airlines menggunakan SAF pada tahun lalu.

Berbanding bahan api jet fosil konvensional, SAF diperbuat daripada 100 peratus sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah seperti minyak masak terpakai yang boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya