BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu atau pengendali syarikat bas yang dikesan mengambil dan menurunkan penumpang di luar dari kawasan terminal bas khususnya di Penang Sentral.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, ia susulan aduan yang diterima daripada syarikat yang menguruskan terminal itu iaitu Penang Sentral Sdn. Bhd., Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Katanya, MRCB mendakwa semakin banyak bas mengambil atau menurunkan penumpang di luar dari kawasan terminal yang sepatutnya sekali gus menjejaskan operasi mereka di Penang Sentral.
“Semalam, kita telah adakan satu mesyuarat yang turut dihadiri wakil MRCB, APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat), MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) serta wakil daripada pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) berhubung perkara ini.
“Susulan mesyuarat tersebut, kita bersetuju meningkatkan operasi bagi mengesan perkara ini termasuk di satu lagi terminal bas iaitu di Sungai Nibong (sebelah pulau).
“Pada masa sama, operasi juga akan ditumpukan kepada isu penjualan tiket bas di luar kawasan terminal. Ini bukan ‘ulat tiket’ tapi penjualan menerusi ‘subcon’ (subkontraktor) yang sebenarnya turut mempengaruhi pemandu bas ekspres untuk tidak lagi mengambil dan menurunkan penumpang dalam kawasan terminal,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri JPJ Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Adenan berkata, penguatkuasaan berhubung larangan mengambil dan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal telah dilakukan sebelum ini dan sehingga kini, sebanyak tiga saman dikeluarkan terhadap syarikat bas terlibat.
“Semalam, kita juga telah mulakan siasatan dengan bertanya kepada pemilik-pemilik kedai di luar kawasan terminal bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat (bas), pemilik serta penjual tiket (yang menjual di luar kawasan terminal bas).
“Jika maklumat mengatakan syarikat mereka turut berada (menjual tiket) dalam kawasan terminal, maka, saman akan dikeluarkan,” katanya yang memberitahu, pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan isu itu tidak berlarutan.
Adenan berkata, beliau juga turun ke lokasi untuk melihat sendiri tempat bas mengambil serta menurunkan penumpang dan menyifatkan kawasan itu agak sempit serta boleh menyebabkan gangguan lalu lintas walaupun biasanya berlaku pada waktu awal pagi.
Sementara itu, tambah beliau, isu lain yang turut dibangkitkan dalam pertemuan itu ialah kewujudan bengkel bas di dalam kawasan terminal di Sungai Nibong.
Katanya, isu tersebut bagaimanapun di luar bidang kuasa jabatannya dan akan diserah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.