PASIR SALAK: “Bantuan TNB ubah hidup saya dan ahli keluarga’.
Itu kata Normah Baharum, penerima bantuan rumah daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Projek Baiti Jannati TNB pada 2020.
Selepas bertahun-tahun tinggal di rumah lama yang serba kekurangan di Parit 15 A, Sungai Lampam, Sungai Manik di sini, tanpa disangka bantuan rumah baharu yang diterimanya mengubah keadaan hidupnya dan ahli keluarganya kepada keadaan lebih selesa.
Normah, 66, menyatakan rasa terima kasih terhadap bantuan yang diterimanya daripada TNB yang membolehkan dia dan keluarganya tinggal di rumah yang lebih baik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada TNB di atas sumbangan rumah baharu untuk saya keluarga. Kini saya rasa senang hati, kami dapat menjalani hidup dengan lebih selesa.
“Kehidupan kami semakin baik di rumah yang serba baharu ini. Saya amat menghargai bantuan yang diberikan TNB ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia tinggal bersama suami, anak dan menantu serta empat cucunya di rumah itu dan mencari pendapatan harian melalui pekerjaan sebagai pengutip sayur.
Katanya, dia tidak akan lupa terhadap bantuan rumah yang diterimanya itu apatah lagi proses kelulusan untuk mendapatkan bantuan itu mudah dan cepat.
“Segalanya bermula apabila ketua kampung datang menemui saya, dia bersimpati dengan keadaan rumah yang uzur lalu bertanyakan adakah saya bersetuju jika ada pihak yang mahu membantu membina rumah baharu lalu saya bersetuju.
“Hanya dalam tempoh yang singkat, TNB datang dan menghantar bahan-bahan binaan rumah, saya terkejut kerana proses kelulusan bantuan begitu cepat.
“Saya masih ingat semasa majlis serahan kunci rumah ini diadakan di sini, ramai yang datang bukan sahaja pemimpin setempat tetapi juga pegawai TNB yang berkongsi kegembiraan kerana dapat menghulurkan bantuan kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN