PADANG BESAR: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori yang membuat pusingan U di kilometer 7.6 Jalan Kangar-Padang Besar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, pasangan berusia 32 dan 28 tahun yang berasal dari Langkawi, Kedah serta bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah memberitahu, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 67 tahun yang datang dari arah Padang Besar itu menghala ke Kangar membuat pusingan U.
Katanya, pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Vario dari arah Kangar itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Pegawai penyiasat yang berada di tempat kejadian mendapati bahawa jalan itu lurus dan mempunyai garisan berkembar,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, pasangan suami isteri itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat,” katanya.
Katanya lagi, siasatan lanjut mendapati pemandu lori tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain ujian saringan awal air kencing didapati negatif.
“Pemandu lori terbabit tidak ditahan reman atas faktor umur dan mempunyai masalah kesihatan serta pendengaran dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau dalam masa sama memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor P. Povandran di talian 019-4702312.-UTUSAN