LUMUT: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas tuduhan memperdaya seorang wanita menyerahkan wang bagi pembelian baju kurung yang tidak diperoleh oleh pelanggan tersebut, kira-kira empat bulan lalu.
Mohd. Sopri Togil, 47, dan Massuwati Amran, 46, dari Taman Muhibbah, Sitiawan dekat sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Pasangan suami isteri itu dituduh menerima bayaran RM158 tanpa mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai mereka dapat membekalkan sehelai baju kurung kepada Nur Sabrina Aiman Mohd. Rosszi pada 31 Mac lalu.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di No. 15, Jalan Lumut, Sitiawan, pada pukul 4.44 petang 13 Februari lalu.
Kedua-duanya didakwa melakukan pelanggaran Seksyen 16(c) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(b) akta sama, yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, masing-masing boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, Mohd. Sopri sebagai pemilik tunggal perniagaan Seri Kenanga Enterprise yang menjalankan perniagaan baju kurung di laman web Kenanga Apparel Store, dituduh gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung pada pukul 1.10 tengah hari 12 Mei lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan- peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perniagaan Elektronik) 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 145(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mohd. Sopri tidak mengaku salah terhadap tuduhan tersebut.
Majistret T. Kavita membenarkan Mohd. Sopri diberi jaminan RM6,000 bagi kedua-dua tuduhan manakala Massuwati dibenarkan diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin.
Beliau juga mengarahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta masing-masing diarahkan melaporkan diri di balai polis terdekat, sebulan sekali.
Kavita memerintahkan kes tersebut disebut semula pada 15 Jun depan untuk proses penyerahan dokumen.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Dharmanathan.
Terdahulu, dalam rayuannya, pasangan suami isteri yang mempunyai dua anak, memperoleh pendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 berdasarkan hasil perniagaannya.
Mahkamah turut dimaklumkan aset kedua-duanya telah dibekukan dan mereka kini turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
Sementara itu, difahamkan, KPDN menerima lebih 100 aduan menerusi e-aduan kementerian itu terhadap perniagaan tersebut.
Dikatakan modus operandi perniagaan itu ialah dengan mengiklankan jualan baju kurung dan apabila pembeli telah membuat bayaran secara dalam talian, pakaian itu tidak diterima walaupun telah diberi nombor ‘tracking’ penghantaran. – UTUSAN