Suami isteri diberkas dalam serbuan makmal dadah - Utusan Malaysia

Suami isteri diberkas dalam serbuan makmal dadah

MOHD. Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan pihak polis di Jelapang kelmarin dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tembelang suami isteri menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Jelapang sebagai makmal memproses dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis, kelmarin.

Lelaki berusia 30 dan isterinya, 38 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam serbuan pada pukul 9 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan di rumah pasangan suami isteri itu membawa penemuan 21,676 gram dadah disyaki heroin dan cecair disyaki dadah sama dengan anggaran berat 3,640 gram.

Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas itu berjumlah RM210,122.80.

“Turut dirampas dalam operasi itu ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak Februari 2023 dan dadah yang dirampas itu adalah edaran untuk pasaran tempatan.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 47,000 orang penagih dadah.

“Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dan seutas rantai leher dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM36,000.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta yang disita berjumlah RM246,122.80,” katanya.

Tambah beliau, pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya