BUTTERWORTH: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menggunakan strategi berbeza bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi khususnya dalam berdepan situasi panas ketika ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kaedah itu tertakluk kepada cara pengurusan pengagihan bekalan air supaya rizab air mentah Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Hitam dapat memenuhi keperluan pengguna.
“Strateginya adalah dengan menggunakan sumber lain iaitu ambil air dari kolam air Bukit Dumbar untuk disalurkan ke Empangan Air Itam.
“Melalui kaedah ini, katakanlah paras air Empangan Air Itam terus menurun, sekurang-kurangnya ia akan turun sedikit demi sedikit.
“Selain itu, kita akan dapat mengukuhkan paras air sekali gus memanjangkan tempoh untuk bertahan sementara keadaan kembali pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan teknikal Pakej 12A bagi meninjau pembinaan modul rawatan air baharu di Loji Rawatan Air Sungai Dua, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan
Projek yang menelan kos RM13 juta itu yang dijangka siap hujung tahun ini akan meningkatkan kapasiti reka bentuk rawatan air maksimum LRA Sungai Dua sebanyak 114 juta liter sehari menjelang tahun depan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, operasi pembenihan awan (OPA) bagi penghasilan hujan akan diteruskan bagi memastikan rizab air mentah kedua-dua empangan itu mencapai 50 peratus.
Ujar beliau, operasi pertama yang dilaksanakan pada 2 Mei hingga 4 Mei lalu boleh dianggap membuahkan hasil susulan berlaku hujan di kedua-dua kawasan terbabit.
“Hujan di Empangan Teluk Bahang menyamai penggunaan bekalan air penduduk selama 3.5 hari manakala bekalan air yang diperolehi di Empangan Air Itam menyamai penggunaan setempat selama sehari.
“Walaupun jumlahnya kecil, namun amat membantu kita mempersiapkan bekalan supaya sumber air bersih dapat terus disalurkan kepada pengguna.
“Justeru, kita akan memohon bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk operasi pembenihan awan akan datang,” katanya. – UTUSAN