SOfBoD perkasa kepimpinan universiti awam

SOfBoD perkasa kepimpinan universiti awam

Mohamed Khaled Nordin bersama Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Nasrudin Mohammed (kiri) dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Datuk Prof. Dr. Roziah Mohd Janor (kanan) pada majlis Suai Tugas Strategik Ahli Lembaga Pengarah Awam (SOfBoD) di Putrajaya, semalam. – Utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Suai Tugas Strategik Ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam (Strategic Onboarding for Board of Directors – SOfBoD) diadakan bagi memperkasa kepemimpinan universiti awam sebagai usaha memantapkan peranan Lembaga Pengarah dan Pengurusan Universiti.

Ini meliputi pemerkasaan kompetensi kritikal Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) seiring dengan kemajuan trend dan keperluan teknologi pendidikan tinggi global, selain memastikan ahli-ahli baharu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Integriti dan amalan tadbir urus turut ditekankan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) pindaan 2019 dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 (Akta 605) bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi dan pembangunan yang mampan untuk universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, program ini bagi menyeru LPU universiti mengambil tanggungjawab membangunkan semula kepercayaan kepada sistem pendidikan negara.

Beliau menggariskan empat peranan dan tanggungjawab utama yang perlu dipikul oleh Pengerusi dan Ahli LPU bermula dengan peranan sebagai wakil kerajaan dan kepentingan awam dalam institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

“Anda semua memikul tanggungjawab memastikan apa jua hala tuju, keputusan dan pertimbangan yang dibuat oleh IPTA kita, adalah selari dan sehala dengan kepentingan nasional, melawan dan membanteras apa jua yang membelakangkan kepentingan kebangsaan.

“Begitu juga dalam membantu melonjakkan potensi dan prestij universiti. Ia adalah tugas kebangsaan. Apabila IPTA kita maju, terkehadapan, berprestasi, secara langsung ia akan menguntungkan negara. Memanfaatkan tanah air,” katanya ketika menyampaikan ucapan di hadapan Pengerusi dan Ahli LPU.

Mohamed Khaled Nordin (duduk tengah) bergambar bersama Ahli Lembaga Pengarah Awam selepas majlis Suai Tugas Strategik Ahli Lembaga Pengarah Awam (SOfBoD)) di Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya, semalam. – Utusan/FAISOL MUSTAFA

Kedua, katanya, LPU perlu menjadi instrumen semak dan imbang, menasihati kepimpinan universiti serta memastikan keputusan mereka wajar dan mengutamakan kepentingan universiti bagi memastikan pentadbiran dan kepimpinan universiti tidak tergelincir atau tersasar dalam membuat dasar serta keputusan besar.

Katanya, sudah sampai masanya LPU memperkenalkan pelbagai jawatankuasa di peringkat Lembaga Pengarah dan strategic retreat antara LPU dan pengurusan universiti supaya isu universiti dibincangkan secara terperinci, bukan hanya dibentangkan secara umum dan ringkas di peringkat LPU.

“Yang paling utama, peranan LPU dalam semak dan imbang yang robust dan tegas ini akan membantu mengekalkan kepercayaan masyarakat umum terhadap reputasi universiti sebagai gedung ilmu dan institusi awam paling penting untuk negara dan bangsa,” katanya.

Ketiga, katanya, LPU perlu menggunakan komposisi lembaga yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dengan latar dan pengalaman tersendiri bagi melonjakkan prestasi universiti supaya dapat membebaskan universiti daripada bersifat terlalu akademik dan terpisah daripada realiti sekeliling.

Keempat, katanya, LPU mesti menjadi pihak paling bermaklumat, paling berpengalaman dan paling terkini melalui pelbagai latihan dan program pembangunan kapasiti seperti yang dijalankan oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

“Latihan serta program pembinaan kapasiti yang dilakukan mesti bertaraf dunia, bersifat kontemporari dan berupaya menjawab krisis kepimpinan IPT. Jika tidak, semua akan menjadi tidak relevan dan gagal menyumbang dengan berkesan,” katanya.

Justeru, beliau berharap segala peranan, tugas serta tanggungjawab yang disebutkan ini disahut dan dilunaskan dengan sewajarnya.

“Gunakanlah sebaiknya ruang dan peluang yang ada untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan IPT dan menambah baik sektor pendidikan tinggi negara.

“Segala agenda negara dan masa depan bangsa sangat bergantung kepada sejauh mana kita semua berupaya menjayakan misi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Selari dengan hasrat beliau, sebuah modul berjudul Vice Chancellor Executive Coaching (VCEC) turut dilancarkan sebagai garis panduan kepada coach dalam mengendalikan sesi coaching kepada Naib Canselor yang dipilih.

Program SOfBoD ini turut diperkayakan dengan sesi perkongsian mengenai peranan, fungsi dan tanggungjawab LPU oleh pengasas bersama The iA Group Sdn. Bhd, Datuk Dr. Hamzah Kassim.

Ia disusuli dengan sesi forum bagi bertukar-tukar pandangan bersama Pengerusi Majlis LPU, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo.

Sesi itu turut melibatkan Pengarah MINDA Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya