SEORANG doktor yang biasa merawat saya dan tahu saya bekerja dalam organisasi media menanyakan soalan – Kita akan bertukar kerajaan sekali lagi kah?
Saya yang datang untuk pemeriksaan kesihatan enam bulan sekali baru-baru ini di hospital itu cuma menjawab, khabar angin kadang-kadang boleh bawa ribut.
Iyalah, buatlah undang-undang lompat parti atau apa sekali pun, undang-undang rimba juga mereka akan ikut. Suruh rakyat patuhi undang-undang. Mereka pun bukan main lagi. Main langgar saja.
Yang buat saya ketawa apabila doktor itu berkata, tukarlah enam bulan sekali. Semua orang nanti lama-lama merasa menjadi Perdana Menteri.
“Tiada keikhlasan daripada perangai mereka. Yang rakyat nampak sekarang, mereka tamak kuasa,” katanya dalam bahasa Inggeris.
Apa pun, paling penting jaga jantung, jaga gula dan jaga kolesterol. Kesihatan adalah kuasa, kekayaan dan kebahagiaan yang sebenar, katanya lagi.
“Dan jaga kesihatan mental juga, kan doktor?” Tanya saya dan dia menunjukkan isyarat ibu jari, bagus.
Betul. Yang ini saya sangat setuju. Kalau dah sakit, apa pun tak boleh. Kesihatan itu adalah kekayaan. Sampai sekarang kata-kata itu melekat dalam kepala saya.
RAKYAT LETIH
Yang kita tak dapat nafikan, pemimpin parti-parti politik di negara ini nampaknya tak letih-letih berpolitiking. Mereka tak letih, rakyat yang melihatnya pula yang letih dulu.
Mana-mana parti politik pun sama. Bila menjadi kerajaan, mereka meminta orang ramai termasuk parti lawan agar memberi mereka peluang memerintah. Jangan ukur pencapaian kerajaan dalam tempoh singkat. Jangan tukar kerajaan di ‘tengah jalan’. Tetapi ketika menjadi pembangkang pula, tak sampai setahun kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya memerintah, dia pula melaungkan kerajaan gagal. Tukar kerajaan. Tak pula cakap pasal berilah masa. Tak pula cerita, jangan cepat menilai dan menjatuhkan hukum.
Kenapa tidak boleh menjadi pembangkang yang profesional dan bertanggungjawab yang menjalankan kerja-kerja semak dan imbang? Pembangkang pun boleh berkhidmat untuk rakyat. Pada pilihan raya umum akan datang barulah, bertanding mahu tukar kerajaan.
Hakikatnya, rakyat sudah ‘masak’ dengan perangai segelintir pemimpin parti politik. Mempergunakan slogan menjaga kepentingan rakyat setiap kali berkempen dalam pilihan raya.
Walhal ini semua dilakukan untuk merebut kuasa demi kepentingan sendiri dan sebab itu pusing-pusing muka yang sama dan pemimpin lama mahu terus memerintah dan berada dalam Kabinet. Sampai bila pun lanskap politik kita akan berada di takuk purba.
JADI BAHAN KETAWA
Sepatutnya pemimpin atau ahli politik mendapat hormat daripada rakyat, bukan setiap tindakannya diperlekeh dan ditertawakan. Ini tidak, jika berita dan gambar mereka disiarkan di media sosial, kita boleh lihat banyak emoji ketawa dan komen-komen lucu dibuat oleh orang ramai.
Adakah ini okay atau normal? Ahli politik bukan pelawak. Biasanya geraf politik orang sebegini, akan menjunam semasa pilihan raya. Rakyat perlukan seorang pemimpin, bukan pelawak.
Untuk mendapat rasa hormat dan dipandang mulia, ia sebenarnya taklah susah sangat. Buat kerja dan tangani masalah rakyat. Bukan setakat ambil tahu, konon nampak prihatin tetapi tidak berbuat apa-apa. Hanya cakap-cakap.
Kelibat mereka hanya kelihatan semasa kempen pilihan raya, pergi masuk kampung, masa itulah baru nak cari orang tua yang sakit untuk dilawati, masa itulah baru nak kacau gulai kawah, barulah nampak muka solat berjemaah di masjid atau pergi kedai kopi dan pasar bersalaman dengan orang ramai.
Sekarang ini adalah zaman sukar, ramai rakyat amat terkesan dengan kos sara hidup tinggi, laksanakanlah langkah-langkah yang boleh menenangkan rakyat.
Di Sri Lanka yang beribu kilometer dari negara ini, pada tahun lalu akibat kegawatan ekonomi yang teruk, rakyatnya marah dan berdemonstrasi sehinggakan mengambil tindakan berani menghumban kereta menterinya ke dalam sungai.
Bukan setakat itu, kediaman bekas perdana menterinya turut dibakar.
Di Ukraine, pada penghujung 2014, ada pemimpin parti politik negara itu termasuk pemimpin kanan dan pegawai kerajaannya dihumban ke dalam tong sampah oleh aktivis antirasuah. Ini kerana kumpulan aktivis itu sudah terlalu menyampah dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa di negara berkenaan ketika itu.
Dan banyak lagi cerita pemimpin luar negara diaibkan oleh rakyat sendiri kerana tidak menjalankan amanah yang diberikan rakyat dengan baik.
Sepatutnya ini dijadikan pengajaran kepada ahli-ahli politik betapa rakyat boleh hilang kawalan emosi jika terus susah dan bangkit mengajar pemimpin.
Kestabilan ekonomi negara amat bergantung kepada kestabilan politik negaranya. Kalau pemimpin asyik berbalah dan kerajaan bertukar ganti dalam tempoh singkat, rakyat yang tanggung susah. Bukan ahli politik yang sudah kaya. Dunia sedang memerhati apa yang sedang berlaku di negara ini. Negara luar pun tarik hand brake untuk melabur jika semua ini tidak dihentikan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir. Segala kewayangan dan drama ahli politik ‘mencari’ rakyat akan bermula. Slogan menjaga kepentingan rakyat dan segalanya untuk rakyat bakal diulang tayang. Bilakah mentaliti ahli-ahli politik sebegini mahu berubah dan sampai bila sanggup jadi bahan ketawa?
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.