SJAM atasi gangguan bekalan air dijangka berfungsi tahun depan - Utusan Malaysia

SJAM atasi gangguan bekalan air dijangka berfungsi tahun depan

SJAM
AMIRUDIN Shari melihat pelan pembinaan rumah pam bagi projek SJAM berdekatan kolam HORAS 600 dekat Kampung Sungai Darah di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pelan Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) bagi memastikan kesinambungan bekalan ketika loji rawatan air (LRA) henti tugas di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat yang bermula sejak 2020 dijangka siap pada Oktober ini.

Projek tersebut melibatkan pembinaan infrastruktur meliputi empat pakej iaitu rumah pam di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya; muka sauk LRA Rantau Panjang dan LRA Semenyih serta serta lencongan sungai di LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek tersebut membolehkan 1.6 juta akaun pengguna atau tujuh juta penduduk di negeri ini serta Kuala Lumpur dan Putrajaya berterusan menerima bekalan air tanpa gangguan akibat pencemaran dan sebagainya.

“Tahun 2020 sahaja, berlaku henti tugas loji sebanyak lapan kali berpunca daripada pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan sekali di Sungai Semenyih. Bagi 2021 pula, sebanyak tiga insiden pencemaran bau berlaku di LRA Sungai Semenyih.

“Perancangan di bawah SJAM merangkumi dua fasa iaitu menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau,” katanya ketika berucap merasmikan SJAM di tapak Takungan Air Pinggiran Sungai Hibrid (HORAS) 600, hari ini.

Jelasnya, kewujudan SJAM juga membolehkan pengambilan air mentah dari sungai yang tercemar akan dihenti dan digantikan sementara dengan sumber dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor atau Takungan Pinggiran Sungai (ORS) di Sungai Semenyih.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pembangunan infrastruktur menelan belanja sehingga RM320 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri turut berbelanja RM10 juta bagi melaksanakan kerja rawatan biologikal bagi tujuan pemuliharaan kualiti Air Sungai Gong hingga ke Sungai Sembah bagi 2021 hingga Julai tahun ini.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan air mentah mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti untuk menampung permintaan penggunaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kawalan di sumber adalah mustahak bagi memastikan jenis dan punca pencemaran dikenal pasti lebih awal agar langkah-langkah mitigasi efektif dapat dilaksanakan selaras dengan pendekatan Water Pollution Management di bawah Integrated Water Resources Management (IWRM),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya