BARU-baru ini, Cik Bunga berkesempatan menghadiri sidang media di ibu negara yang mempromosikan sebuah konsert dangdut menggabungkan Malaysia dan Indonesia.
Semangat jugalah Cik Bunga pergi sebab nak tahu apa ceritanya dengan perkembangan dan survival muzik genre dangdut sama ada masih kenakah dengan selera semasa anak muda masa kini.
Mana tahu boleh ditanya pada artis-artis yang hadir dan minta pandangan mereka.
Tetapi timbul rasa hampa bila dapat tahu, artis Indonesia yang hadir pada hari kejadian semuanya tak dapat ditemu bual.
Walhal, paling tidak pun, berilah laluan pada penyanyi Siti Badriah yang popular dengan lagu Lagi Syantik untuk berbual dengan media.
Maklumlah, bukan senang nak jumpa artis-artis tanah seberang. Alang-alang sudah ada di sini.
Namun hal itu tidak berlaku dan difahamkan, mereka yang hadir ke sini tempoh hari berkunjung bukan menggunakan permit bekerja.
Soalan Cik Bunga, kenapa bawa mereka datang juga ke majlis itu? Penganjur tentu sudah tahu teman media perlu ada bahan berita untuk dibawa pulang.
Teori Cik Bunga, paling tidak, ini mesti jemput artis di saatsaat akhir. Maka itulah punca kenapa tak dapat datang dengan permit pekerja.
Cik Bunga pun tak salahkan Siti Badriah atau artis-artis lain yang hadir yang terpaksa membisu.
Mungkin cara penganjur buat kerja wajar dipersoalkan. Satu hal lagi, nama pun konsert gabungan artis Malaysia dan Indonesia, mana artis tempatan yang terlibat?
Yang Cik Bunga persoalkan ialah Baby Shima. Di mana awak? Yang ada cuma Ani Mayuni.
Alamak, malulah pada senior. Pada awalnya Cik Bunga cuba berlapang dada, mungkin Shima lewat sedikit, kita pun boleh tutup mata.
Namun sampai ke penghujung majlis, tidak muncul jua si Shima ini. Cik Bunga bukan apa, kalau betul ada misi mahu angkat semula lagu-lagu dangdut, seriuslah sikit.
Shima antara pelapis berpotensi untuk genre ini, tetapi tak pula hadir pada waktu penting. Selalu Cik Bunga tengok Shima lantang di media sosial.
Harap Shima pun boleh jelaskan juga kenapa tidak hadir tempoh hari. Ada yang syak Shima cuba lari daripada isu hangat yang diperkatakan kebelakangan ini. Entahlah.